
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata CBP bukan sekadar bank koperasi, malah lambang perjuangan ekonomi rakyat yang berpaksikan semangat kerjasama, berlandaskan prinsip syariah serta digerakkan oleh nilai kemanusiaan dan keadilan sosial.
“Saya percaya, dalam usaha membina Malaysia Madani, peranan institusi kewangan seperti CBP dan gerakan koperasi negara amat penting.
“Koperasi adalah instrumen penting dalam membantu anggotanya meningkatkan taraf hidup, bukan sahaja sebagai penyedia kemudahan kewangan melalui pembiayaan dan perkhidmatan perbankan, malah ejen pengupayaan rakyat, khususnya bagi golongan B40, usahawan mikro dan komuniti setempat,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Wisma CBP di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru.
Teks ucapannya dibacakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi CBP Baharom Embi dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar.
Perasmian ibu pejabat baharu CBP setinggi 13 tingkat itu sempena ulang tahunnya ke-75 pada 7 Jun lalu.
Dalam pada itu Anwar berkata, hingga Disember 2024 sebanyak 16,000 koperasi diperbadankan dengan jumlah keahlian lebih 7.2 juta di seluruh negara.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan komitmen dan dedikasi tinggi dalam kalangan anggota koperasi, malah menunjukkan kebijaksanaan pengurusan dalam merancang serta melaksanakan strategi perniagaan yang berkesan.
“Saya amat berbangga apabila CBP mencatatkan prestasi perniagaan memberangsangkan. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, CBP berjaya meraih keuntungan tertinggi sejak penubuhannya iaitu sebanyak RM124.29 juta, dengan jumlah aset keseluruhan mencecah RM12.84 bilion. Tahniah dan syabas saya ucapkan,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan Wisma CBP wajar dijadikan platform terbaik oleh Kuskop bersama agensi di bawahnya dalam menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sektor koperasi demi pembangunan sosioekonomi negara.
Sementara itu, Baharom dalam ucapannya memaklumkan CBP yang ditubuhkan sejak 1950 kini mempunyai keanggotaan seramai 97,000 terdiri individu dan koperasi.
Katanya, CBP dinobatkan sebagai Koperasi Premier Malaysia selama empat tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2024.