RUU koperasi baharu dibentang Disember, kata menteri

RUU koperasi baharu dibentang Disember, kata menteri

Bacaan pertama RUU Koperasi disasarkan di Dewan Rakyat pada Disember, manakala bacaan kedua dan ketiga dijangka Mac 2026.

Ewon Benedick mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang (RUU) koperasi yang baharu kini berada pada fasa akhir penggubalan dan dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata sehingga kini pihaknya bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah melaksanakan 23 sesi libat urus.

Sesi itu membabitkan pelbagai pihak berkepentingan seperti wakil koperasi dan pentadbiran kerajaan Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Pahang.

Menurut beliau, bacaan pertama RUU Koperasi disasarkan pada Disember 2025, manakala bacaan kedua dan ketiga dijangka berlangsung pada Mac 2026.

“Akta baharu ini dijangka diwartakan pada Jun 2026 dan mula dikuatkuasakan selewat-lewatnya Disember 2026,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK).

Ewon berkata RUU baharu itu akan menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502], selaras keperluan semasa dan aspirasi pembangunan gerakan koperasi negara.

Dalam pada itu, mesyuarat MPKK kali ini diadakan lebih awal bagi membolehkan gerakan koperasi mengemukakan input dan cadangan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 dijadualkan Oktober ini.

“Ia memberi ruang kepada gerakan koperasi menyuarakan keperluan serta cadangan peruntukan yang relevan kepada Kementerian Kewangan,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.