Koperasi disaran bangunkan konsep francais

Koperasi disaran bangunkan konsep francais

Inisiatif itu boleh dilakukan dengan memperluaskan peluang pekerjaan dan latihan kepada anggota.

MoU Koperasi Kesatuan
Majlis pemeteraian MoU antara Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat Berhad dan rangkaian restoran masakan nyonya kampung, Kakatoo Malaysia di Quill City Mall, Kuala Lumpur, hari ini.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mencadangkan koperasi membangunkan konsep francais atau rantaian restoran koperasi yang mampan.

Ketua Penolong Pengarah (Kawal Selia) SKM, Mohammad Farhan Mohamad Sabri, berkata inisiatif itu boleh dilakukan dengan memperluaskan peluang pekerjaan dan latihan kepada anggota.

Katanya, selain itu menyumbang kepada pembangunan komuniti dan pendidikan serta menghasilkan keuntungan jangka panjang kepada koperasi dan rakan industri.

Beliau menyatakan demikian dalam majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat Berhad (Kop KGMMB) dan rangkaian restoran masakan nyonya kampung, Kakatoo Malaysia di Quill City Mall, Kuala Lumpur, hari ini.

Kop KGMMB dengan kekuatan ahli seramai kira-kira 20,000 diwakili Pengerusi Ibrahim Marlan manakala Kakatoo yang kini mempunyai 12 cawangan di Lembah Klang dan Putrajaya diwakili Pengerusi Kumpulan Kakatoo F&B, Yusof Izahar.

Dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kakatoo F&B, Joyce Chong, mengumumkan inisiatif pertama kerjasama tersebut dengan perniagaan tart kepada peserta.

Peserta yang layak akan menerima pembiayaan mengikut syarat ditetapkan oleh Kop KGMMB dan beberapa agensi pembiaya lain.

Farhan berkata, apa yang penting adalah semangat kerjasama itu diterjemah dalam bentuk projek benar-benar memberi nilai kepada koperasi.

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Kop KGMMB dan Kakatoo atas kejayaan mencapai persefahaman ini.

“Semoga usaha ini menjadi permulaan kepada perkembangan lebih besar yang akan mengangkat koperasi ke tahap lebih tinggi dalam dunia keusahawanan moden,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.