
Berita Harian melaporkan Noorazwin Zullkifli, 36, membuat pengakuan di depan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan.
Bekas kerani di Koperasi LB Johnson Seremban Berhad itu didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan RM199,491.79 dalam talian antara 2 Feb 2023 hingga 22 Mac 2024 di Medan Koperasi, Kampung LBJ, Pejabat Koperasi Kampung LB Johnson Seremban Berhad di Bandar Enstek, Nilai.
Dia didakwa menggunakan peranti post terminal diamanahkan kepadanya melalui akaun Bank Kerjasama Rakyat milik Koperasi Kg LB Johnson Seremban Berhad ke akaun Bank Kerjasama Rakyat miliknya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun, dengan sebatan dan boleh juga didenda.
Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz menawarkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan.
Tetapi, peguam Ahmad Muzhaffar Abdul Razak memberitahu mahkamah, anak guamnya kini bekerja di kedai serbaneka dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan mempunyai tiga anak berusia empat hingga tujuh tahun, manakala suaminya bekerja di ibu negara dan jarang pulang.
Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan, dilarang mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula ditetapkan 9 Sept ini.