
Beliau berkata, penetapan dividen itu mencerminkan keupayaan Felcra mengekalkan keuntungan lebih berdisiplin dan pemantauan rapi bagi memastikan koperasi dan anak syarikatnya terus mencatatkan prestasi mampan tanpa ketirisan.
Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata, pendekatan telus perlu menjadi asas kepada prestasi kewangan Felcra, selain memastikan kepentingan ahli sentiasa diberi keutamaan.
“Kita mahu koperasi ini terus menjadi contoh terbaik, bukan saja dari segi keuntungan, tetapi dari segi tadbir urus dan manfaat kepada ahli. Pendekatan saya adalah pendekatan ‘hands on’ dan jika lakukan pemantauan tidak boleh terburu-buru dan berlaku ketirisan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-43 Koperasi Peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB) di sini, malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Felcra Berhad, Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Koperasi KPFB, Sabari Misran.
Zahid berkata, prestasi KPFB sebagai anak syarikat membuktikan kekuatan model koperasi yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dan tanggungjawab sosial selaras prinsip pembangunan inklusif.
Menurutnya, keutamaan pengurusan diberikan kepada KPFB kerana jumlah ahlinya jauh lebih besar berbanding pemegang saham anak syarikat lain, sekali gus memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai lebih menyeluruh.
“KPFB bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya membina kejayaan perniagaan yang memberi manfaat kepada peserta, komuniti dan keseluruhan ekosistem Felcra.”
Sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu, KPFB menyalurkan dividen melebihi RM20 juta kepada koperasi peserta Felcra di bawah naungannya dengan prestasi cemerlang yang turut diiktiraf menerusi anugerah Status Koperasi Premier 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Dalam majlis sama, Zahid turut mengumumkan elaun kehadiran bagi mesyuarat agung perwakilan KPFB tahun ini ditetapkan sebanyak RM1,000 sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, kesetiaan dan peranan aktif perwakilan dalam memperkukuh hala tuju koperasi.
Katanya, kadar itu bukan saja mencerminkan kekuatan kedudukan kewangan koperasi, malah membuktikan keupayaan KPFB untuk terus memberikan pulangan adil dan berterusan kepada ahlinya.