Ubah persepsi ‘potong gaji’, Raja Perlis mahu koperasi teroka ekonomi berimpak tinggi

Ubah persepsi ‘potong gaji’, Raja Perlis mahu koperasi teroka ekonomi berimpak tinggi

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah koperasi perlu menceburi sektor antaranya pertanian dan penternakan, IKS, pembangunan perumahan serta peruncitan.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengurniakan anugerah Tokoh Penggiat Melayu Nusantara kepada Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam.
PETALING JAYA:
Raja Perlis menyeru koperasi mengubah persepsi lama yang sering mengaitkannya dengan skim potongan gaji semata-mata, sebaliknya berani meneroka sektor ekonomi berimpak tinggi.

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, koperasi perlu menceburi sektor itu antaranya pertanian dan penternakan, industri kecil dan sederhana (IKS), pembangunan perumahan serta peruncitan.

Baginda menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem koperasi dan pembangunan ekonomi setempat, khususnya di Perlis yang mempunyai kedudukan strategik dalam koridor Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT–GT).

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyarankan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggembleng sepenuhnya potensi perdagangan di rantau IMT–GT, iaitu pasaran luas yang merangkumi lebih 90 juta penduduk.

Raja Perlis bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Peluncuran Buku ‘Never Fully Invest at All Times’ dan Peluncuran Tahun Bisnes Koperasi Angkasa Perlis 2026 di Kangar.

Buku itu adalah karya Tan Chong Koay yang mendapat gelaran ‘Warren Buffett of Asia’ daripada penyelenggara Konferensi Penciptaan Kekayaan Dunia di Singapura pada 2017.

Keberangkatan Baginda diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama Yang di-Pertua Melaka, Mohd Ali Rustam; Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (Insken), Mustaffa Kamil Ayub dan Pengerusi Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS), Ammar Hassan serta Presiden Angkasa, Abdul Fattah Abdullah.

Sempena majlis itu, Ali menerima anugerah Tokoh Penggiat Melayu Nusantara manakala Fattah dikurniakan Tokoh Penggiat Koperasi Nusantara oleh Raja Perlis.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin tertarik dengan cadangan ‘Nat Antarabangsa’ di tanah milik Angkasa di Kampung Banat, Arau, yang jika berjaya direalisasikan dapat menjadi salah satu produk destinasi pelancongan baru di Perlis.

Sementara itu, Mustaffa dalam ucapannya memaklumkan Angkasa dan Insken melihat peluasan serta pengukuhan koperasi dan pembangunan keusahawanan di Perlis sebagai selari dengan visi bawah Rancangan Struktur Negeri Perlis 2030 (RSN Perlis 2030).

Katanya, pelan itu menjadi panduan pembangunan fizikal, ekonomi, dan sosial, ke arah menjadikan Perlis sebagai ‘Negeri Bandaraya 2030’, dengan penekanan terhadap perancangan guna tanah, pertumbuhan ekonomi, pembangunan luar bandar, serta perancangan mampan.

“Selain itu, strategi pendigitalan dan transformasi perkhidmatan kerajaan negeri melalui Pelan Digital Perlis 2021–2025 turut membuka ruang luas kepada koperasi untuk memanfaatkan teknologi digital dalam tadbir urus, pemasaran, logistik, rantaian bekalan, dan peningkatan perkhidmatan kepada anggota,” katanya.

Beliau juga menyeru kerajaan Perlis terus memberi ruang dan peluang kepada gerakan koperasi untuk terlibat secara aktif dalam agenda pembangunan negeri.

“Koperasi bukan pesaing, sebaliknya pelengkap dalam sektor seperti pertanian, pelancongan desa, pembangunan komuniti, agro, dan ekonomi mikro, selaras aspirasi pembangunan negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.