Hampir 48 jam hilang ketika latihan selam, anggota komando ditemui lemas

Hampir 48 jam hilang ketika latihan selam, anggota komando ditemui lemas

Polis berkata mangsa dipercayai terlepas daripada tali keselamatan dan dibawa arus ketika menjalani latihan selaman skuba di Pelabuhan Kuantan.

Pasukan mencari dan menyelamat mengusung mayat mangsa ditemui pagi semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang anggota komando tentera ditemui lemas selepas hampir 48 jam dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di Pelabuhan Kuantan Khamis lalu.

Mayat Mohd Haswansir Julnasir, 30, dijumpai terdampar di tebing batu kira-kira 300m dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sekitar 10 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuantan, Mohd Adli Mat Daud, berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian bersama peralatan menyelam.

Berdasarkan laporan, beliau berkata, mangsa bersama tiga anggota komando melakukan selaman skuba di kawasan pelabuhan itu dengan turun ke dasar laut berpandukan tali keselamatan.

Tetapi, menurutnya, seorang daripadanya dipercayai terlepas daripada tali keselamatan dan dibawa arus.

“Kehilangan mangsa disedari apabila hanya tiga penyelam timbul ke permukaan selepas sesi latihan itu kira-kira 12.15 tengah Khamis lalu,” katanya menurut Berita Harian.

Difahamkan sejurus kejadian, pasukan komando terbabit latihan di kawasan itu berusaha mencari dan menyelamat mangsa, tetapi gagal.

Adli berkata, polis menerima laporan kehilangan anggota komando itu pada 3.19 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan dengan disertai anggota polis, bomba dan tentera.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.

Sementara itu, tentera darat mengesahkan kematian Haswansir, 30, seorang anggota Grup Gerak Khas (GGK) dari Rejimen 22 Komando.

Haswansir meninggal dunia semasa melaksanakan Latihan Seaghost di perairan Kuantan.

Haswansir dilaporkan hilang semasa sedang melaksanakan latihan selaman menggunakan Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA) di perairan Dock Port, Kuantan.

“Sebagai anggota elit Skuadron Perahu Khas, Allahyarham merupakan seorang anggota yang sangat terlatih dalam kepakaran serangan amfibi dan operasi penyusupan maritim, di mana latihan seumpama ini merupakan sebahagian dari keperluan untuk mengekalkan kemahiran peringkat tinggi,” menurut kenyataan.

Tentera memaklumkan Haswansir selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Gusung Melanta Tesi, Pulau Bum Bum, Semporna pada 2.30 pagi tadi.

“Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga tentera darat menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta turut berdukacita atas kehilangan seorang warganya yang sangat terlatih,” katanya.

Sementara itu, tentera darat akan menubuhkan lembaga siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

Ia menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga Haswansir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.