
Ketua Polis Serdang Farid Ahmad berkata Ammar Ariffin, 27, yang bertugas di Pangkalan Udara Subang dilaporkan mandi bersama tiga rakannya di Sungai Kedondong kira-kira 4.30 petang, 23 Ogos lalu.
Katanya, ketika kejadian Ammar sedang menjalani kursus di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT) di Bandar Kinrara.
“Kali terakhir dia dilihat selepas mandi di sungai. Selepas itu, mereka beredar menaiki kereta masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Farid, rakan sebilik Ammar cuba menghubunginya kira-kira 6 petang pada 24 Ogos, namun telefonnya tidak dapat dihubungi kerana dimatikan.
Katanya, seorang pegawai tentera udara dari INSMAT membuat laporan polis pada 4.15 petang, 25 Ogos lalu selepas Ammar gagal melaporkan diri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Ammar diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Sukri Che Mat, di talian 03-8076 2222 atau 03-8071 3136.