
Ibunya, Mazlianatum Muhamed Salleh ketika dihubungi FMT memberitahu Aliff, 23, yang menghidap ADHD (gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif) secara kebetulan dijumpai kawan suaminya di Dataran Merdeka pada Jumaat lalu.
“Nasib baik dia tidak lari ketika Hisyam (kawan suami) memanggilnya. Mungkin sebab dia kenal Hisyam.
“Aliff kemudian dihantar ke ibu pejabat Lembaga Getah Malaysia di Kuala Lumpur, tempat kerja suami saya dahulu, sebelum adik ipar saya datang dan bawanya pulang ke Kuantan,” katanya.
FMT pada 19 Ogos melaporkan kehilangan Aliff sejak 10 Ogos lalu selepas keluar solat subuh, di surau berdekatan rumahnya di Kuantan.
Bapa, Mohd Nizam Hamad, 46, memberitahu, Aliff sebelum ini pernah keluar rumah selama tiga hari dan pulang semula selepas kehabisan wang.
Menceritakan kejadian terbaharu itu, Mazlianatum berkata dengan berbekalkan wang RM200 yang diambil dari adiknya, Aliff menaiki bas menuju ke Genting Highlands.
“Aliff berkata dia kemudiannya pergi ke Kuala Lumpur dan menuju ke Titiwangsa.
“Selama berbelas hari di Titiwangsa, Aliff memberitahu dia tinggal bersama gelandangan dan makan empat kali sehari. Jadi dia boleh teruskan hidup di situ.
“Aliff juga berkata dia sering bersiar-siar di Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan pergi ke masjid atau surau setiap kali waktu solat,” katanya.
Mazlinatum dan suami mengakui terkejut dengan kemampuan Aliff untuk bertahan hampir tiga minggu tanpa bantuan ahli keluarga.
“Secara luaran Aliff nampak normal, tapi sebenarnya dia ada ADHD. Kami pun tak sangka dia mampu uruskan diri sebegitu lama,” katanya.
Mazlinatum berkata ini bukan kali pertama Aliff keluar rumah tanpa pengetahuan keluarga tetapi kali ini sangat merisaukan mereka kerana anaknya hilang hampir 19 hari.
“Bagi Aliff, keluar berjalan-jalan itu menyeronokkan tetapi bagi kami kehilangannya selama 19 hari itu adalah sangat mencemaskan,” katanya.