Pegawai, anggota polis ditahan kes barang hilang di inap desa

Pegawai, anggota polis ditahan kes barang hilang di inap desa

Penyewa dakwa barangan bernilai ratusan ribu ringgit hilang selepas inap desa itu diserbu sepasukan anggota polis.

Shazeli Kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata pegawai dan anggota terbabit ditahan petang semalam susulan laporan dibuat seorang daripada penyewa inap desa tersebut. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang pegawai dan beberapa anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan barangan peribadi di sebuah banglo inap desa di Kajang pada 28 Ogos lepas.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata pegawai dan anggota terbabit ditahan petang semalam susulan laporan dibuat seorang daripada penyewa inap desa tersebut sehari selepas kejadian.

Beliau berkata laporan diterima IPD Kajang dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu curi dalam bangunan.

“Semakan mendapati sebelum itu terdapat serbuan dijalankan pada 28 Ogos kira-kira 2 pagi selepas polis menerima maklumat berhubung bunyi bising dipercayai akibat aktiviti hiburan di premis berkenaan.

“Berikutan itu, serbuan dilakukan oleh pasukan terbabit bagi mengesahkan maklumat tersebut,” katanya pada sidang media.

Shazeli berkata berdasarkan laporan, penyewa terbabit mendakwa kehilangan barangan berharga berjumlah ratusan ribu ringgit selain mendapati keadaan bilik yang berselerak selepas serbuan.

Beliau berkata polis kemudian bertindak menahan pegawai dan beberapa anggota yang terlibat dalam serbuan berkenaan.

“Penahanan ini dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.