
Bahagian ‘Hasil Kerajaan Persekutuan’ dalam laporan Belanjawan 2024 memperincikan cukai pendapatan individu diunjurkan menyumbang kira-kira RM40.8 bilion.
Cukai ke atas hasil korporat mewakili bahagian terbesar iaitu RM98.5 bilion, bersamaan lebih separuh daripada semua kutipan cukai.
Data itu menyerlahkan kebergantungan berterusan kerajaan terhadap sumbangan cukai untuk menampung perbelanjaan awam dan menegaskan kepentingan saluran hasil yang pelbagai.
Saluran ini termasuk cukai berasaskan penggunaan seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta mekanisme berpotensi yang menyasarkan kekayaan peribadi dan harta pusaka.
Hujah bagi pelaksanaan cukai penggunaan, seperti SST yang diperkenalkan semula pada 1 Sept 2018 dan kini diperluas merangkumi lebih banyak barangan adalah sangat kukuh.
Sebagai permulaan, cukai pendapatan mempunyai banyak kelompangan yang membolehkan pembayar cukai mengurangkan atau mengelak tanggungjawab mereka sama sekali.
Pada masa sama, cukai kekayaan pula bukan sahaja sukar untuk dikuatkuasakan, malah menimbulkan risiko aliran keluar modal, manakala cukai harta pusaka pula ibarat ‘penapis yang bocor’.
Cara lari daripada cukai
Cukai pendapatan memberi ruang yang luas untuk dimanipulasi, dan setiap pembayar cukai memanfaatkan sepenuhnya kelemahan itu.
Selain pelepasan individu serta untuk pasangan dan anak-anak, terdapat pelbagai cara lain untuk mendapatkan ‘diskaun’ terhadap jumlah cukai yang perlu anda bayar.
Perbelanjaan seperti pembelian komputer atau tablet, yuran pendidikan, kos penjagaan kesihatan dan perbelanjaan berkaitan ketidakupayaan peribadi boleh ditolak daripada pendapatan bercukai – jumlahnya agak besar dan boleh mengurangkan beban cukai yang tinggi.
Terdapat juga golongan yang terlibat dalam ekonomi tidak formal, seperti pekerja gig, yang tidak mengisytiharkan pendapatan mereka dan oleh itu tidak membayar apa-apa.
HR Asia, sebuah penerbitan dalam talian bagi profesional sumber manusia di Asia, memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan bertarikh 9 April 2025 bahawa, pekerja gig kini merangkumi lebih suku daripada tenaga kerja negara setakat Disember 2023.
Pengisytiharan pendapatan yang rendah dan pengisytiharan perbelanjaan tinggi untuk mendapatkan lebih banyak pelepasan cukai peribadi, ditambah dengan kegagalan memasukkan pekerja gig, menyebabkan kerajaan kehilangan sejumlah besar hasil sepatutnya boleh dikutip.
Namun, bergerak ke hadapan, dengan pengenalan sistem e-invois dijangka dapat mengurangkan kejadian pengisytiharan pendapatan lebih rendah dan tuntutan perbelanjaan berlebihan.
Kelemahan cukai lain
Cadangan untuk mengenakan cukai ke atas kekayaan peribadi dan harta pusaka banyak kali dibangkitkan.
Penyokongnya, seperti Penyelaras Asian People’s Movement on Debt and Development, Lidy Nacpil, dan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, melihatnya sebagai satu cara berkesan untuk meningkatkan hasil kerajaan tanpa menambah beban kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Ia mempunyai tarikan politik kerana dilihat hanya golongan kaya akan membayar cukai tersebut, walaupun hakikatnya ia tidak benar-benar mengurangkan jurang ketidaksamaan pendapatan sebenar.
Pengagihan semula kekayaan berlaku menerusi mekanisme lain, seperti pekerjaan dalam sektor awam dan dasar-dasar keutamaan, manakala campur tangan kerajaan bagi mengimbangi kuasa ekonomi sering kali hanya menguntungkan golongan elit dalam kumpulan sasar, bukan golongan miskin sebenar.
Justeru, cukai kekayaan mungkin hanya mengalihkan kekayaan dalam kalangan golongan elit, tetapi tidak mungkin dapat merapatkan jurang pendapatan bandar-luar bandar secara bermakna.
Selain itu, cukai ke atas kekayaan sering kali sudah dicukai menerusi cukai pendapatan, cukai laba modal atau duti setem. Jika cukai kekayaan turut dilaksanakan, ini boleh menyebabkan cukai berganda.
Situasi ini mendorong golongan kaya untuk menyusun semula aset mereka melalui amanah, syarikat luar pesisir atau pemindahan hadiah bagi mengelak cukai.
Pakar cukai juga membangkitkan kekurangan infrastruktur penguatkuasaan, daftar aset yang boleh dipercayai dan kapasiti penilaian untuk mentadbir cukai seperti itu secara berkesan di Malaysia.
Cukai harta pusaka juga tidak jauh bezanya. Aset boleh dipindahkan kepada waris atau ke dalam amanah sebelum kematian, manakala struktur undang-undang boleh digunakan untuk melindungi kekayaan.
Pemilik aset alih atau aset luar negara juga boleh mengisytiharkan nilai yang lebih rendah daripada sebenar.
Pada masa sama, ia memerlukan sumber yang besar untuk menguatkuasakan cukai ini, menjadikan ia tidak berbaloi dengan hasil yang dikutip.
Jalan keluar
Data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menunjukkan dari 2016 hingga 2022, purata hanya 17.8% hingga 19% rakyat Malaysia dalam tenaga kerja yang membayar cukai pendapatan, sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk meluaskan asas percukaian.
Cukai penggunaan dalam bentuk SST memastikan setiap orang menyumbang bahagian masing-masing kepada hasil kerajaan – satu keperluan memandangkan perbelanjaan negara yang semakin meningkat dan defisit fiskal yang melebar.
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM421 bilion untuk perbelanjaan, iaitu peningkatan sebanyak 3.3% berbanding belanjawan sebelumnya.
Ini dijangka mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), lebih rendah berbanding 4.1% bawah Belanjawan 2024, namun masih merupakan defisit.
SST menawarkan beberapa kelebihan. Ia merupakan sumber hasil luas dan stabil berbanding hasil minyak yang tidak menentu atau asas cukai pendapatan yang sempit. Malah, mereka dalam sektor tidak formal dan pelancong turut terlibat.
Kerajaan dijangka memperoleh tambahan RM10 bilion setahun hasil peluasan SST yang kini meliputi lebih banyak kategori barang dan perkhidmatan.
Walaupun terdapat kebimbangan disuarakan sesetengah pihak, RHB Investment Bank menjelaskan peluasan SST hanya melibatkan barangan atau perkhidmatan bukan keperluan seperti barangan mewah, hiburan dan perkhidmatan gaya hidup tertentu, sekali gus memberi kesan terhad terhadap inflasi.
Bagi memastikan SST kekal berdaya maju dan adil, barang serta perkhidmatan asas harus terus dikecualikan atau dikenakan kadar sifar untuk melindungi golongan miskin, manakala penguatkuasaan pula perlu memanfaatkan alatan digital dan pemantauan e-dagang.
Mengelak kegagalan
Sebarang dasar untuk memastikan kelestarian fiskal negara termasuk SST, akan gagal jika tiada kebertanggungjawaban.
Sejarah sebelum ini menunjukkan walaupun hasil boleh dipertingkatkan dan ia juga dengan mudah boleh dibazirkan menerusi ketirisan di peringkat atasan akibat tadbir urus lemah dan salah guna kuasa.
Menutup ketirisan dan mengembalikan kepercayaan rakyat jauh lebih penting berbanding memperkenalkan cukai baharu atau meluaskan skop SST.
Sistem percukaian yang adil dan cekap hanya boleh berfungsi apabila hasil diuruskan dengan penuh integriti.