
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata sejak 2019, kerajaan mengehadkan kuota diesel bersubsidi bagi sektor nelayan 70 juta liter sebulan berbanding 80 juta liter sebulan pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, kuota itu bagi membolehkan nelayan pesisir pantai, nelayan Zon A, B dan C mendapat manfaat bekalan diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter untuk menampung sebahagian kos operasi.
“Bagaimanapun, nelayan laut dalam Zon C2 tidak layak mendapat diesel bersubsidi memandangkan mereka nelayan komersial yang lazimnya mempunyai kekuatan kewangan kukuh.
“Ia merupakan usaha kerajaan untuk menangani isu ketirisan minyak diesel, terutama di perairan laut dalam,” katanya dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai isu ketirisan subsidi diesel.
Amir Hamzah berkata, kerajaan melalui LKIM juga membangunkan aplikasi MyIsytihar sejak 2024 sebagai langkah kawalan supaya nelayan menerima subsidi diesel membuat pengisytiharan tangkapan hasil laut kepada LKIM.
Menurutnya, pelbagai operasi penguatkuasaan terus diperkasakan dengan kerjasama strategik agensi penguatkuasaan menerusi operasi bersepadu bagi memperkukuh kawalan di sempadan serta mengekang aktiviti penyeludupan melalui laluan darat dan laut.
Menyentuh kesan penyasaran subsidi diesel kepada pesawah dan petani, beliau berkata, seramai 180,000 petani, penternak dan pekebun kecil mendapat manfaat daripada Bantuan Tunai Budi Agrikomoditi dengan jumlah bayaran RM350 juta setakat 30 Sept lalu.
Bantuan itu meliputi sumbangan RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar dengan kementerian berkaitan.