
Johan menepis tanggapan hanya kumpulan berpendapatan rendah (B40) menerima kelebihan kerana beberapa dasar semasa turut memberi faedah besar kepada M40.
Beliau menjelaskan langkah mengekalkan subsidi bersasar bagi elektrik dan bahan api sebenarnya langkah memihak kepada golongan pertengahan memandangkan mereka menggunakan lebih banyak tenaga dan petrol berbanding isi rumah B40.
“Bayangkan jika kita ikut saranan Bank Dunia untuk hapuskan subsidi sepenuhnya dan ganti dengan bantuan tunai. Realitinya, golongan pertengahan menggunakan lebih banyak elektrik dan bahan api.
“Dengan skim seperti BUDI95 (Budi Madani RON95), yang membolehkan rakyat terus membeli petrol pada harga RM1.99 seliter, manfaat sebenar lebih besar kepada M40 kerana mereka menikmati jumlah subsidi yang lebih tinggi,” katanya.
Mengulas pandangan sesetengah pihak termasuk ahli ekonomi Geoffrey Williams yang berpendapat Belanjawan 2026 kurang memberi perhatian kepada M40, Johan berkata kenyataan itu tidak mengambil kira manfaat dalam bentuk pelepasan cukai.

Beliau menjelaskan, pelepasan cukai dipertingkat dalam belanjawan kali ini kebanyakannya dinikmati golongan pertengahan yang menjadi penyumbang terbesar kepada cukai pendapatan individu.
Antara langkah baharu ialah peluasan faedah penjagaan anak daripada usia enam kepada 12 tahun, peningkatan pelepasan cukai untuk anak berkeperluan khas seperti autisme dan Sindrom Down daripada RM4,000 kepada RM10,000, pelepasan cukai pelancongan domestik
sebanyak RM1,000, serta pengecualian duti setem yang lebih luas bagi pembeli rumah pertama.
“Semua ini sebenarnya banyak menguntungkan golongan pertengahan. Kadang-kala saya rasa tidak adil apabila Belanjawan ini dilihat hanya untuk B40.
“Sebenarnya, menerusi pelepasan cukai dan subsidi bersasar, M40 menerima manfaat yang jauh lebih besar,” katanya.
Mengenai kos sara hidup, Johan berkata kadar inflasi keseluruhan di Malaysia masih terkawal berbanding negara lain, namun kenaikan harga makanan dan makan di luar memberi tekanan yang lebih dirasai rakyat.
Beliau menambah kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan program Jualan Rahmah bagi membantu mengurangkan beban rakyat.