
Laporan oleh Pegawai khas ketua menteri Mazlan Joehari Manan itu membabitkan kenyataan Tei pada sidang media semalam selepas dia didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas pertuduhan memberi rasuah kepada dua Adun.
Mazlan dalam laporannya berkata Tei membuat kenyataan berniat jahat dan fitnah terhadap Hajiji antaranya dengan mempersoalkan mengapa ketua menteri itu tidak didakwa bersama dua Adun, selain membangkitkan isu ancaman terhadap keselamatannya.
“Kenyataan itu memberi maksud ketua menteri Sabah telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang dan sepatutnya dituduh di mahkamah dan campur tangan dalam proses pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta proses mahkamah.
“Selain itu mendakwa ketua menteri campur tangan dalam siasatan SPRM dan terlibat dalam rancangan menculik serta membunuh Tei,” katanya dalam laporan dibuat di Balai Polis Tanjung Aru.
Semalam, Hajiji berkata kerajaan Sabah tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang membabitkan mana-mana pemimpin kerajaan yang terpalit dengan isu rasuah.
Beliau menegaskan kerajaan Sabah menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang berhubung dua Adun yang berdepan dengan pertuduhan rasuah keseluruhan RM350,000 berhubung permohonan lesen mencari gali mineral di negeri itu.
Mereka adalah Adun Tanjung Batu Andi Muhammad Suryady Bandi dan Adun Sindumin Dr Yusof Yacob.