Masa depan Syed Saddiq ‘kabur’ selagi belum bebas sepenuhnya

Masa depan Syed Saddiq ‘kabur’ selagi belum bebas sepenuhnya

Pihak pendakwaan dikatakan akan merayu ke Mahkamah Persekutuan, selepas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepas dan dibebaskan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman lepas jawatan presiden Muda pada Nov 2023, susulan keputusan Mahkamah Tinggi.
PETALING JAYA:
Masa depan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikatakan ‘kabur’ kerana belum bebas sepenuhnya daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata pihak pendakwaan masih boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung kes yang dihadapi bekas presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu.

“Hanya selepas Mahkamah Persekutuan kekalkan keputusan maka Syed Saddiq baru ‘bersih’ daripada tuduhan,” katanya kepada FMT.

Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq, yang pada Nov 2023 didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana Pemuda Bersatu lebih RM1 juta dan satu lagi pertuduhan salah guna harta secara tidak jujur, iaitu wang lebih RM120,000 milik sayap itu.

Bekas ketua Pemuda Bersatu itu turut disabitkan bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan sayap terbabit, Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Susulan keputusan semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki berkata beliau dimaklumkan pihak pendakwaan akan merayu ke Mahkamah Persekutuan.

“Masa depan Syed Saddiq kabur dan tak menentu lagi kerana proses mahkamah belum selesai,” katanya.

Syed Saddiq melepaskan jawatan presiden Muda pada Nov 2023 selepas beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi. Kemudi parti itu dipangku oleh Amira Aisya Abdul Aziz.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpandangan kepulangan Syed Saddiq tidak akan mengubah nasib Muda yang kelihatan terlampau mengharapkan aura beliau.

“Hakikatnya untuk Muda maju ke hadapan memerlukan rakan parti yang kuat, sama ada Barisan Nasional, Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional,” katanya.

Muda menjalin kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia pada PRN enam negeri Ogos 2023.

“Jangan cari rakan yang suam-suam kuku,” kata Azmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.