Kos tinggi, hati-hati labur industri jagung bijian, kata penyelidik

Kos tinggi, hati-hati labur industri jagung bijian, kata penyelidik

Christopher Teh dari UPM berkata kos tanaman tinggi menjadikan import jagung bijian lebih praktikal berbanding pengeluaran tempatan.

jagung bijian
Sebelum ini kerajaan mengumumkan akan membangunkan industri jagung bijian tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import komoditi itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu berhati-hati melabur dalam industri jagung bijian kerana kos tinggi pengeluaran tempatan dikhuatiri tidak berdaya saing berbanding import langsung, kata penyelidik pertanian.

Ketua Jabatan Pengurusan Tanah Universiti Putra Malaysia (UPM), Christopher Teh, berkata struktur kos pengeluaran produk pertanian lazimnya memberatkan petani dengan mengambil contoh operasi membajak sahaja sudah mencapai 40% daripada kos pengeluaran jagung bijian.

Christopher Teh
Christopher Teh.

Beliau berkata, kos pengeluaran jagung bijirin secara konvensional dianggarkan sekitar RM5,024 per hektar, selain cabaran tambahan iaitu tempoh penanaman lebih lama sekitar 120 hari berbanding jagung manis yang hanya perlukan 72 hari maksimum.

“Ini mengehadkan petani kepada hanya dua musim penanaman setahun berbanding jagung manis yang boleh ditanam empat kali setahun.

“Jagung bijian juga memerlukan proses pengeringan selepas tuai untuk mencapai kandungan kelembapan 20-25%, menambah kos dan kerumitan operasi,” katanya kepada FMT, mengulas pengumuman kerajaan akan membangunkan industri jagung bijian tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import komoditi itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah membangunkan ekosistem bahan utama dalam sektor ternakan negara itu mampu merangsang pembangunan sektor agromakanan , meningkatkan peluang ekonomi luar bandar serta memperkukuh daya tahan sistem makanan negara.

Mengulas lanjut, Teh berkata sejak 1987, kos pengeluaran tempatan mencapai RM1kg manakala harga pasaran diselaraskan hanya RM0.43kg menunjukkan kerugian ketara berterusan hingga kini.

“Purata hasil jagung bijiran tempatan yang rendah iaitu 2.9 hingga 6.5 tan per hektar berbanding Thailand (4.4 tan per hektar) turut meningkatkan kos pengeluaran, menjadikan tanaman tempatan semakin tidak kompetitif,” katanya.

Beliau mengambil contoh senario di Indonesia bahawa dasar perlindungan rantaian bekalan makanan untuk meningkatkan pengeluaran tempatan boleh menyebabkan harga domestik meningkat dua kali ganda daripada harga global.

“Ia memberi kesan negatif kepada industri ternakan (kos makanan ternakan naik berganda),” katanya, sambil berpandangan import jagung lebih murah dan praktikal berbanding penanaman tempatan ketika ini.

Beliau berkata Malaysia memerlukan pelaburan komprehensif dalam penyelidikan dan pembangunan, selain amalan pertanian moden untuk menyaingi negara pengeksport utama seperti Argentina dan Brazil yang menghasilkan struktur biji keras dan kandungan lembapan rendah.

Fokus negeri ada kemudahan tanam jagung

Menurutnya, kerajaan boleh memulakan projek rintis dengan memberi fokus kepada negeri yang sudah mempunyai aktiviti penanaman jagung berskala besar terutama jagung manis, antaranya Johor, Kelantan, Pahang dan Perak.

“Kelebihan utama pemilihan negeri-negeri ini terletak pada kewujudan komuniti petani jagung yang berpengalaman, memudahkan peralihan teknologi dan amalan pengurusan dari jagung manis kepada jagung bijiran.

“Infrastruktur pertanian sedia ada seperti sistem pengairan, kemudahan penyimpanan dan rangkaian pengedaran juga dapat dimanfaatkan untuk mengurangkan kos permulaan projek,” katanya yang menjangkakan kesannya hanya dapat diihat sekitar 2030 dan 2032.

Menurut Teh, kerajaan boleh menggunakan beberapa varieti hibrid yang sesuai ditanam di Malaysia antara garis keturunan SLBR5 yang dikesan mempunyai ketahanan terhadap penyakit ‘Southern Corn Leaf Blight’ yang boleh menyebabkan kehilangan hasil antara 20% hingga 90% jika tidak diurus dengan betul.

Benih hibrid itu dibangunkan oleh penyelidik UPM bersama agensi tempatan seperti Mardi, termasuk beberapa varieti lain iaitu Sungai Buluh Hybrid 11, Sungai Buluh Hybrid 12, dan Putra J-58 yang diiktiraf sebagai varieti berhasil tinggi.

Kebergantungan 100% import jagung bijian terdedah ketidaktentuan harga global

Sementara itu, Jasmin Arif Shah juga penyelidik dari UPM berkata kebergantungan 100% terhadap import jagung bijian dengan jumlah mencecah dua hingga empat juta tan setahun dari negara sumber menjadikan industri makanan ternakan tempatan terdedah kepada ketidaktentuan harga pasaran global.

Jasmin Arif Shah.
Jasmin Arif Shah.

Beliau berkata angka berkenaan sebagai amaran kepada sektor pertanian negara bahawa jagung bukan sekadar komoditi pertanian namun tanaman strategik penting untuk kestabilan ekonomi dan keterjaminan makanan negara.

“Dengan inisiatif kerajaan untuk mencapai SSL 30% bagi jagung bijian dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu menjelang 2032, bersamaan dengan pengeluaran 600,000 tan jagung bijian, penglibatan aktif pekebun kecil menjadi amat kritikal,” katanya.

Jasmin berkata jagung bijian kurang mendapat perhatian petani selama ini kerana melibatkan modal besar contohnya penuaian komoditi itu memerlukan jentera khusus yang mahal berbanding amalan aktiviti pertanian tempatan yang lebih bersifat konvensional.

“Jagung bijian juga memerlukan mesin pengeringan mahal dan berskala besar kerana tanpa pengeringan yang betul, bijian mudah rosak, menyebabkan kerugian besar,” kata pensyarah kanan Jabatan Teknologi Pertanian UPM.

“Pendek kata, pekebun kecil memilih varieti yang menjamin pulangan tunai cepat, permintaan pasaran yang jelas dan pengurusan ladang yang ringkas menjadikan jagung manis sebagai pilihan utama ketika ini.”

Penglibatan belia elemen kritikal kemajuan sektor jagung bijian

Bagaimanapun, Jasmin berpandangan peningkatan produktiviti pekebun kecil dalam sektor makanan ternakan haiwan dapat ditingkatkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi penyelidikan, institusi pengajian awam serta penglibatan belia.

Beliau berkata, pembabitan golongan muda adalah elemen kritikal bagi memastikan kelestarian dan kemajuan industri jagung negara, dengan membawa tenaga, idea baharu selain kesediaan mereka mengadaptasi teknologi moden.

Kerajaan juga perlu menyediakan insentif dan geran permulaan untuk belia yang berminat menceburi pertanian jagung termasuk memberi subsidi pembelian peralatan, bantuan modal pusingan dan akses kepada tanah secara pajakan atau sewa jangka panjang, katanya.

“Kerajaan juga boleh menggalakkan belia untuk menjadi usahawan dalam rantaian nilai jagung, bukan sahaja sebagai penanam, tetapi juga dalam perkhidmatan jentera pertanian, pembekal input, pemprosesan makanan ternakan, atau pemasaran jagung secara digital.

“Dengan menarik lebih ramai golongan muda, industri jagung akan mendapat suntikan idea baharu, amalan inovatif, dan tenaga kerja yang lebih dinamik, sekali gus memastikan kesinambungan dan pembangunan mampan sektor pertanian negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.