TVET, STEM bukan bidang ‘kelas kedua’

TVET, STEM bukan bidang ‘kelas kedua’

Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 menyasarkan Malaysia menjadi lebih berani berteraskan inovasi, teknologi dan industri bernilai tinggi.

tvet
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan peluang ke bidang pekerjaan berteknologi dan industri tinggi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 sedang meletakkan asas untuk masa depan lebih berani berteraskan inovasi, teknologi dan industri bernilai tinggi.

NIMP 2030 adalah di bawah naungan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang bertanggungjawab melancar, melaksanakan dan memantau pencapaian pelan itu.

Ketika Malaysia bergerak ke arah ekonomi yang lebih kompleks, peluang baharu muncul dalam sektor kimia, Elektrik & Elektronik (E&E), aeroangkasa, peranti perubatan, farmaseutikal serta bidang pertumbuhan seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui dan bahan termaju.

Ketua Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ahmad Nabil Md Nasir berkata, transformasi ini memerlukan generasi baharu pemikir dan pencipta yang memiliki kemahiran, kreativiti dan kepakaran teknologi.

“Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) melahirkan pakar teknikal, jurutera dan inovator yang mampu mengubah idea menjadi realiti.

“Pelajar daripada dua laluan ini akan menjadi tenaga penggerak industri di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, NIMP 2030 turut mengenal pasti empat sektor utama yang akan memacu ekonomi bernilai tinggi negara iaitu E&E, aeroangkasa, EV dan tenaga boleh diperbaharui.

Pada masa sama, Dasar TVET Negara pula menegaskan TVET ialah pemangkin penting untuk melahirkan bakat masa hadapan bagi sektor berteknologi tinggi.

“Dalam ekosistem yang dirancang dengan baik ini, STEM menyediakan asas teori seperti reka bentuk litar, analisis data dan model tenaga.

“Manakala TVET melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal termasuklah penyelenggaraan sistem automasi, integrasi sensor, pengujian peralatan dan pematuhan standard industri.

“Kombinasi STEM dan TVET ini akan dapat membentuk laluan pendidikan yang melahirkan tenaga kerja mampu mereka bentuk, mengendalikan dan menambah baik teknologi canggih dalam E&E, aeroangkasa, EV dan tenaga boleh diperbaharui bukan hanya operator atau juruteknik rendah,” katanya.

Ahmad Nabil berkata sudah tiba masanya cara berfikir lama diubah kerana TVET dan STEM bukan pilihan kedua, namun pilihan bijak yang menawarkan peluang kerjaya menarik dan bersedia untuk masa depan.

Menyentuh perubahan diperlukan, Ahmad Nabil menjelaskan, kurikulum pendidikan perlu lebih berorientasikan kompetensi.

Katanya, pendidikan dari sekolah menengah hingga universiti perlu memasukkan lebih banyak projek dunia sebenar (Pembelajaran Berasaskan Projek-PjBL), automasi, pendigitalan dan elemen ekonomi hijau seiring dengan keperluan IR4.0 dan agenda negara.

“Sistem pendidikan perlu mempunyai kesepaduan jelas antara STEM dan TVET. Hubungan yang jelas ini dapat memastikan kurikulum yang dibina berhubung antara perancangan kurikulum dan pelaksanaan di institusi dan tempat kerja.

“Kesepaduan perhubungan dua bidang utama ini dapat melenyapkan stigma TVET itu bidang kelas kedua, kerana ia melengkapi satu sama lain,” katanya.

Mengulas mengenai persepsi TVET sebagai pilihan kedua, Ahmad Nabil berkata, pendidikan berkualiti tinggi, pensijilan antarabangsa dan kerjasama industri yang kukuh adalah kunci mengubah pandangan masyarakat.

Katanya, institusi TVET perlu ditingkatkan ke tahap antarabangsa melalui penggunaan teknologi terkini, pembabitan pengajar berpengalaman industri serta penawaran pensijilan global.

“Kisah kejayaan graduan dalam industri dron, semikonduktor, EV dan tenaga hijau juga perlu diperbanyakkan sebagai bukti prospek gaji tinggi.

“Pendedahan awal kepada aktiviti robotik, tenaga boleh diperbaharui dan projek teknikal di sekolah rendah dan menengah boleh menarik minat pelajar serta mengubah imej TVET sebagai laluan berprestij dan berorientasikan masa depan.

Dalam memastikan pelajar TVET dan STEM mampu bersaing dalam industri automasi, digitalisasi dan inovasi, Ahmad Nabil menegaskan beberapa kemahiran asas yang wajib dikuasai.

Ia termasuklah asas elektrik dan elektronik, mekanikal, automasi, penyelenggaraan sistem serta kemahiran digital seperti pengaturcaraan asas, IoT, pemodelan 3D/CAD dan pemahaman data.

Aspek kemahiran hijau, keselamatan industri, pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan serta kebolehan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu turut menjadi keperluan penting selari dengan fokus global UNESCO dan agenda pendigitalan negara.

Dari segi kerjasama industri pula, beliau berkata, Dasar TVET Negara dan NIMP 2030 menekankan pendekatan whole-of-nation dengan menggubal kurikulum bersama industri, memperluas apprenticeship dan train-and-place, menubuhkan pusat kecemerlangan kluster serta mewujudkan sistem data kemahiran nasional.

Dalam masa sama, beliau berharap TVET dan STEM terus menjadi tunjang utama pembangunan ekonomi negara selaras aspirasi NIMP 2030 dan peralihan Malaysia ke arah industri bernilai tinggi.

“Saya juga berharap, generasi muda melihat TVET dan STEM sebagai peluang masa depan yang luas, stabil dan berprestij.

“Melalui TVET dan STEM, mereka dapat menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara dengan pelbagai bidang khususnya dalam teknologi hijau, semikonduktor, kenderaan elektrik hinggalah automasi industri.

“Akhir sekali, saya berharap masyarakat, ibu bapa dan sekolah terus menyokong penyertaan anak muda dalam bidang ini. Dengan sokongan yang betul, TVET dan STEM bukan sahaja membentuk kerjaya yang baik, tetapi juga menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di persada global,” katanya.

Artikel ini kali pertama disiarkan di Harian Metro dan diterbitkan semula di Free Malaysia Today dengan izin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.