
Selain itu, negara juga menumpukan kepada bidang pertumbuhan baharu merangkumi industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui dan bahan termaju.
Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), secara tidak langsung ia dilihat membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi negara dengan meletakkan asas bagi sebuah masa depan berteraskan inovasi, teknologi dan industri bernilai tinggi.
NIMP 2030 adalah di bawah naungan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), yang bertanggungjawab melancar, melaksanakan, dan memantau pencapaian pelan ini.

Justeru, bagi memacu transformasi ini, Malaysia memerlukan generasi baharu pemikir, pencipta dan penyelidik yang memiliki kemahiran, kreativiti serta kepakaran teknologi untuk membina dan menerajui industri masa depan.
Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead), Universiti Putra Malaysia, Muhd Khaizer Omar, berkata menyifatkan peralihan ini akan menjadi pemangkin utama kepada transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pembudayaan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) selaras dengan aspirasi NIMP 2030.
Katanya, kerajaan atau sistem pendidikan tidak lagi berusaha sekadar melahirkan graduan yang memahami teknologi secara teori, tetapi membentuk generasi yang mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan sebenar, tempat kerja serta proses inovasi.
“Pendekatan baharu ini bukan saja memupuk nilai dan kemahiran insaniah, malah memperkukuh keupayaan pelajar untuk membangunkan produk serta penyelesaian inovatif sejajar dengan keperluan industri bernilai tinggi.
“Namun TVET negara berada pada tahap kesediaan sederhana dalam usaha memenuhi keperluan industri moden. Walaupun terdapat institusi yang sudah menjalin kerjasama kukuh dengan pihak industri, realitinya masih banyak lagi perlu diperkukuh dengan pelbagai cabaran perlu dilihat,” katanya.
Cabaran perlu perhalusi
Beliau berkata, antara cabaran utama perlu diperhalusi ialah peralatan di bengkel latihan yang masih ketinggalan, berbanding teknologi sebenar digunakan di kilang-kilang canggih, sebahagian tenaga pengajar datang daripada latar akademik yang kuat tetapi kurang pendedahan kepada amalan industri terkini berasaskan ‘hands-on’.

“Selain itu, kurikulum yang diamalkan juga sering dianggap terlalu teoritikal dan tidak cukup pantas menyesuaikan diri dengan perubahan pesat Revolusi Industri, sekali gus mengekang keberkesanan TVET dalam melahirkan tenaga kerja yang benar-benar selari dengan kehendak pasaran masa kini.
“Bagaimanapun, libat urus dengan pihak industri juga boleh diwujudkan supaya setiap cabaran itu dapat ditangani seperti mewujudkan Pusat Kecemerlangan di kampus yang dikendalikan secara bersama di antara pemberi pendidikan dan pihak industri.
“Bukan setakat itu saja, program latihan berasaskan kerja juga perlu diwajibkan dengan tempoh yang beih praktikal, sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan, sebagai sebahagian daripada syarat graduasi.
“Pada masa sama, beri dan buka akses serta gunasama kepada teknologi baharu yang digunapakai di industri kepada pensyarah dan pelajar,” katanya.
Melihat kepada perkembangan peralihan ini, Khaizer berkata, industri elektrik dan elektronik antara yang memerlukan intervensi segera dari segi penyediaan tenaga mahir. Ini kerana negara perlu menaik taraf daripada hanya membuat komponen kepada mereka bentuk dan mencipta produk bernilai tinggi.
“Jurang paling ketara ialah dalam reka bentuk cip dan kejuruteraan fabrikasi semikonduktor. Selain itu, kimia dan petrokimia di mana fokus NIMP 2030 pada produk kimia khusus memerlukan tenaga mahir dalam teknologi hijau serta kejuruteraan proses untuk bahan baharu seperti bioplastik. Inilah masa depan sektor pekerjaan negara,” katanya.
Latih bakat berkemahiran
Beliau menjelaskan, sekiranya strategi pelaksanaan dan perkembangan industri NIMP 2030 ini tidak berjalan sebaiknya, negara mungkin ‘terperangkap’ dalam pendapatan sederhana, pelabur akan lebih berminat kepada negara yang lebih bersedia daripada segi tenaga mahir.
“Bahkan, negara akan kekal sebagai hab pemasangan dan perkhidmatan, bukan sebagai pencipta produk-produk baharu, selain ketinggalan dalam revolusi tenaga hijau dan pengaplikasian sumber tenaga baharu contohnya potensi nadir bumi.
“Oleh itu pembangunan bakat berkemahiran perlu diprofailkan dan diberi latihan berkala serta berskala tinggi.
“Pemetaan bakat berkemahiran dengan peluang pekerjaan dalam bidang juga perlu diperhalusi bagi mengurangkan ketirisan lambakan graduan tidak bekerja dalam bidang dan menyepadukan teknologi termaju, digital serta kemampanan (ESG),” katanya.
Jelasnya lagi, kerajaan juga perlu melaksanakan sistem ‘stackable credential’ untuk menyokong kepada pembelajaran sepanjang hayat.
“Pihak industri perlu mainkan peranan dengan lebih proaktif dari segi perkongsian amalan industri dan jangkaan masa hadapan industri bagi penyediaan kurikulum yang relevan dan terkehadapan,” katanya.
NIMP 2030 adalah dasar perindustrian bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan yang digubal dengan tujuan untuk mentransformasikan industri ke tahap lebih tinggi dengan memanfaatkan trend global sedang muncul.
Sehubungan itu, NIMP 2030 dirangka untuk mencapai aspirasi itu dalam tempoh tujuh tahun melalui pendekatan berasaskan misi bagi pembangunan perindustrian.
Pendekatan ini akan menyatukan Malaysia dengan menggalakkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta bagi memacu industri ke hadapan.
Artikel ini kali pertama disiarkan di Berita Harian dan diterbitkan semula di Free Malaysia Today dengan izin.