
Langkah itu menerima pengiktirafan syariah apabila Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126 pada 25 hingga 27 Feb lalu berpandangan hukum menghasilkan dan menggunakan baja organik daripada pemprosesan biopepejal IWK yang selamat dan bermanfaat adalah diharuskan.
Keputusan tersebut dibuat selepas muzakarah berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan penyelidik berhubung penggunaan biopepejal dari loji rawatan kumbahan tinja manusia sebagai sumber penghasilan baja organik.
Ketua Pegawai Operasi IWK, Mohd Taufik Salleh, berkata pengiktirafan itu menandakan penerimaan positif terhadap inisiatif syarikat dalam memastikan setiap proses rawatan dan penghasilan baja biopepepejal mematuhi garis panduan syariah serta standard keselamatan ditetapkan.
Katanya, ia amat bermakna kerana bukan sahaja mengesahkan baja biopepejal dihasilkan selamat digunakan, malah memberi keyakinan kepada masyarakat khususnya pengguna Islam terhadap usaha IWK mengurus sisa kumbahan secara mampan.

“IWK turut menerima sokongan Majlis Agama Islam Pahang yang mengeluarkan fatwa membenarkan penggunaan biopepejal hasil daripada proses rawatan kumbahan sebagai bahan penghasilan baja organik.
“Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dalam mesyuarat bilangan 02/2025 memutuskan hukum menghasilkan dan menggunakan baja organik daripada pemprosesan biopepejal IWK yang selamat dan bermanfaat adalah diharuskan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, jawatankuasa berpandangan sebarang hasil tanaman yang bersentuhan dengan baja tersebut perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum digunakan kerana baja berkenaan bersifat najis.

“Fatwa ini membuktikan inovasi dalam pengurusan kumbahan mampu bergerak seiring prinsip syariah dan kelestarian alam,” katanya.
Selain pematuhan syariah, penggunaan baja biopepejal IWK turut diperkukuh di peringkat dasar apabila Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) pada 6 Okt lal setuju menerajui dan mengutamakan penggunaan baja organik yang dihasilkan daripada biopepejal bawah pengurusan IWK.
Taufik berkata, sisa pepejal selepas proses rawatan air kumbahan akan melalui beberapa peringkat rawatan lanjut termasuk penebalan, penstabilan dan pengeringan bagi memastikan keselamatan penggunaan.
“Baja biopepejal IWK mengandungi kira-kira 4% unsur NPK (nitrogen, fosforus dan kalium), menjadikannya sumber nutrien berkesan untuk memulihkan tanah terdegradasi. Ia juga membantu menyeimbangkan tahap keasidan tanah yang terjejas akibat penggunaan baja kimia berpanjangan,” katanya.
Inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan, malah menukar bahan yang sebelum ini dianggap tidak berguna kepada produk bernilai untuk sektor pertanian.
Melalui pendekatan ekonomi kitaran, IWK terus memposisikan diri sebagai peneraju inovasi hijau dengan memastikan setiap sisa diurus secara selamat, lestari dan memberi manfaat semula kepada alam sekitar.