TVET, STEM tunjang masa depan perindustrian Malaysia

TVET, STEM tunjang masa depan perindustrian Malaysia

Kemahiran teknikal muncul sebagai tulang belakang usaha Malaysia untuk pemulihan industri namun cabaran persepsi, tenaga mahir dan pelaksanaan dasar masih wujud.

car factory
Laporan Institut Penyelidikan Khazanah pada 2021 menekankan ketidakpadanan kritikal antara hasil pendidikan dan permintaan pasaran kerja.
PETALING JAYA:
Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 menetapkan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara industri berteknologi tinggi.

Belanjawan 2026 menyokong visi itu dengan peralihan ke arah pertumbuhan dipacu pelaburan, dengan memberi keutamaan kepada sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, kimia, farmaseutikal, dan peranti perubatan.

Bagi memastikan strategi ini berjaya, Malaysia perlu menangani cabaran utama: membangunkan tenaga kerja mahir dan bersedia untuk masa depan yang mampu memenuhi keperluan industri tersebut.

Pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) — bersama bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kini dilihat sebagai pemangkin kepada transformasi itu.

Bagaimanapun, cita-cita Malaysia untuk menjadi ekonomi perindustrian maju berdepan halangan utama: kekurangan tenaga kerja mahir. Menurut Unesco, hanya 6.1% belia Malaysia mendaftar dalam pendidikan vokasional — jauh lebih rendah berbanding Singapura (23.8%) dan Jerman (20.4%).

Laporan Institut Penyelidikan Khazanah pada 2021 turut menekankan ketidakpadanan kritikal antara hasil pendidikan dan permintaan pasaran kerja.

Walaupun perniagaan dan sains sosial menarik ramai pelajar, bidang lain seperti kejuruteraan, ICT, dan teknologi alam sekitar kurang diminati sekali gus menyebabkan sektor tersebut berdepan kekurangan tenaga kerja.

Mengubah persepsi

Ringkasan dasar oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) pada 2022 menekankan stigma sosial yang berpanjangan terhadap TVET, di mana laluan teknikal terus dianggap pilihan kedua atau bertaraf rendah, sekali gus menyebabkan kurang galakan daripada ibu bapa dan pelaburan terhad.

Tetapi, menurut The Edge Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyatakan 54.3% lepasan sekolah menengah kini memilih TVET, dan menyifatkannya sebagai ‘trend positif’ bagi tenaga kerja teknikal negara.

Beliau berkata, kebolehpasaran graduan TVET mencapai 95.1%, dan graduan dalam sektor seperti automasi serta pembuatan berteknologi tinggi boleh menjana pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,500 sebulan — berbanding RM1,700 hingga RM2,000 bagi pemegang ijazah umum.

Analisis oleh Isis menyatakan jurang gaji yang memihak kepada graduan TVET mencabar tanggapan lapuk dan menunjukkan latihan berasaskan kemahiran menghasilkan ‘gaji lebih tinggi serta kadar pekerjaan yang lebih baik’.

Bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri, kerajaan memperuntukkan RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026 untuk memperkukuh ekosistem TVET merangkumi peningkatan kemudahan, pembangunan kurikulum disesuaikan dengan industri, dan peluang latihan industri yang lebih luas.

Peningkatan ini selaras dengan sektor berimpak tinggi seperti EV, semikonduktor, aeroangkasa dan tenaga boleh diperbaharui yang semuanya dikenal pasti sebagai keutamaan strategik bawah NIMP 2030.

Pekerjaan berteknologi tinggi dan permintaan industri

Data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menunjukkan jumlah pekerjaan dalam sektor pembuatan dijangka meningkat daripada 2.9 juta pada 2021 kepada 3.3 juta menjelang 2030.

Kebanyakan peluang pekerjaan ini dijangka melibatkan peranan berkemahiran dan berpendapatan tinggi dalam bidang seperti robotik, pembungkusan cip serta automasi berasaskan bilik bersih.

Industri ini dianggap sebagai ‘melekit’ — iaitu sektor yang tahan terhadap kejutan global dan kurang berisiko dipindah ke luar negara atau digantikan sepenuhnya oleh automasi memandangkan rantaian nilainya yang mendalam.

Keupayaan Malaysia menarik dan mengekalkan pelaburan bernilai tinggi bergantung pada tahap kesiapsiagaan tenaga kerjanya. Komitmen pelaburan berbilion ringgit baru-baru ini oleh Infineon Technologies (pengembangan RM5 bilion di Kulim) dan Intel (lebih RM30 bilion untuk kemudahan di Pulau Pinang) dilihat sebagai kejayaan awal bagi hala tuju NIMP 2030.

Namun, aliran pelaburan masa depan tidak terjamin. Kekurangan tenaga mahir boleh menjejaskan pelaksanaan projek utama atau mengalihkan minat pelabur ke ekonomi jiran.

Belanjawan 2026 turut memperuntukkan RM180 juta untuk Dana Pembangunan Industri NIMP dan RM5.9 bilion bagi koridor pembangunan wilayah dalam usaha menarik pertumbuhan perindustrian.

Melangkah ke hadapan

Seiring Malaysia beralih kepada model pertumbuhan berasaskan pelaburan, pendidikan teknikal semakin mendapat perhatian dalam dasar negara.

Institut Penyelidikan Khazanah menyeru kerjasama lebih erat antara industri dan institusi akademik — daripada peluasan latihan amali sehingga padanan pasaran kerja bagi memastikan graduan benar-benar bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.

Walaupun terdapat pelbagai cabaran — daripada mengubah minda masyarakat sehingga menyesuaikan kerangka latihan — matlamatnya jelas: membangunkan tenaga kerja tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri.

Sama ada melalui program politeknik, kursus STEM atau latihan amali industri, generasi pekerja mahir Malaysia akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.