
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata kementeriannya berusaha untuk mengimbangi prinsip pasaran bebas, persaingan yang adil dan perlindungan pengguna, serta memastikan industri tempatan tidak dipinggirkan.
“Cabarannya ialah memastikan persaingan kekal adil dan industri tempatan dilindungi dalam ekonomi pasaran bebas,” katanya di Dewan Rakyat.
Fuziah menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang bertanya mengenai langkah kementerian untuk membendung pengembangan jenama asing, termasuk platform e-dagang yang mengganggu harga pasaran dengan menawarkan harga yang sangat kompetitif, hingga ancam kelangsungan PKS tempatan.
Beliau berkata garis panduan sedia ada amat wajar disemak semula memandangkan sektor F&B berkembang pesat sejak 2024, sementara peraturan tersebut disediakan lebih dua dekad lalu.
Fuziah berkata Mixue memasuki pasaran Malaysia pada 2024 dan berkembang kepada kira-kira 500 cawangan, dan kementeriannya mengehadkan pengembangannya tahun lalu.
“Kami tidak membenarkan mereka dengan bebas menambah cawangan. Ia bukan semudah itu,” katanya.
Fuziah menambah kementeriannya juga memperkenalkan garis panduan kedai khusus pada 2020, yang memerlukan syarikat yang beroperasi di negara ini didaftarkan di Malaysia, mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM1 juta, dan menjalankan penilaian impak sekiranya keluasan premis melebihi 5,000 meter persegi.
Bagi e-dagang, Fuziah berkata kementeriannya sedang memuktamadkan rang undang-undang untuk meminda atau menggantikan Akta Perdagangan Elektronik 2006, yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.