Azmin dakwa PN boleh tawan 10 lagi kerusi di Selangor

Azmin dakwa PN boleh tawan 10 lagi kerusi di Selangor

Azmin Ali turut yakin Selangor akan menjadi satu lagi negeri ditadbir PN pada pilihan raya akan datang.

mohamed azmin ali
Azmin Ali antara 22 wakil rakyat PN yang dipilih pada PRN Selangor lalu.
PETALING JAYA:
Ketua Perikatan Nasional (PN) Selangor Azmin Ali mendakwa komponen itu mampu menambah 10 lagi kerusi DUN sekali gus merampas pentadbiran negeri itu pada pilihan raya akan datang.

“Kami akan menyumbangkan satu lagi negeri yang akan ditadbir PN ditunjangi Bersatu.

“Insya-Allah kita akan tawan 10 lagi kerusi dalam pilihan raya akan datang,” kata Azmin yang juga setiausaha agung Bersatu dalam video di Facebooknya.

Video itu memetik ucapannya dalam program Kembara Bersatu Selangor, bulan lalu dan jelajah terbabit turut diadakan di Johor, Melaka serta Negeri Sembilan.

Pada PRN Selangor berlangsung Ogos 2023, PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan gagal merampas pentadbiran negeri itu apabila hanya menang 22 kerusi.

Selain Hulu Kelang yang dimenangi Azmin, PN juga menawan kerusi Sabak, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Sungai Burong, Permatang, Bukit Melawati dan Ijok.

Jeram, Kuang, Gombak Setia, Semenyih, Sungai Ramal, Taman Medan, Paya Jaras, Sementa, Sungai Kandis, Sijangkang, Morib dan Dengkil.

PN turut menang Selat Klang namun wakil rakyatnya Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Menteri Besar Amirudin Shari.

Pakatan Harapan (PH) meneruskan penguasaan di negeri itu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan menguasai 34 kerusi DUN.

Parti perlu menang sekurang-kurangnya 29 daripada 56 kerusi DUN dipertandingkan untuk menang di Selangor.

Ketika ini, PN memerintah Kedah, Terengganu, Perlis dan Kelantan yang semuanya ditunjangi PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.