Guru didakwa amang seksual pelajar perempuan dalam kereta

Guru didakwa amang seksual pelajar perempuan dalam kereta

Muhamad Asyraf Ahmad mengaku tak bersalah melakukan perbuatan di KM 242.1 Plus arah utara, bulan lalu.

seremban court
Muhamad Asyraf Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan, bulan lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Tampin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan 14 tahun, dalam sebuah kereta bulan lalu.

Tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Asyraf didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun tiga bulan semasa kejadian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta di KM 242.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, kira-kira 9 pagi sehingga 9.20 pagi, 17 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis pada setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah dengan alasan perlu menanggung dua anak serta ibu bapa yang tidak sihat selain membayar komitmen lain.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 15 Julai depan untuk sebutan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.