
Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pendekatan itu mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih interaktif, menyeronokkan dan menyokong keperluan pelajar dengan pelbagai gaya pembelajaran, khususnya di sekolah padat.
Namun, beliau menegaskan tanpa perancangan rapi dan garis panduan penilaian yang seragam, pendekatan itu boleh membawa kekeliruan dan pertindihan peranan dalam kalangan guru.
“Apabila dua guru berada dalam satu kelas, pelajar akan mendapat pendedahan kepada pelbagai pendekatan dan cara fikir. Ini berpotensi melahirkan suasana pembelajaran lebih dinamik serta memperkaya kreativiti dan pemikiran kritis pelajar.

“Namun, kita tidak mahu pelajar menjadi mangsa kepada dua pendekatan berbeza. Penilaian perlu diseragamkan, begitu juga agihan tanggungjawab dalam kelas kerana kita mahu menjadikan ‘co-teaching’ sebagai pemangkin kejayaan lebih baik bukan menjadikan keadaan sedia ada menjadi lebih buruk,” katanya kepada FMT.
Effendi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu meneliti isu beban tugas guru kerana dua pengajar dalam satu kelas tidak bermakna beban kerja berkurang.
“Jika jadual dan peranan tidak diurus dengan baik, ia boleh menambah tekanan kepada guru. Kita perlu pastikan pelaksanaan ini adil dan tidak membuka ruang kepada manipulasi beban kerja.
“Bukan semua guru selesa berkongsi ruang pengajaran. Ini memerlukan kefahaman, komunikasi terbuka dan latihan khusus agar kedua-duanya dapat berfungsi sebagai pasukan yang saling melengkapi,” katanya.
Memetik laporan Berita Harian, KPM akan memperkenalkan kaedah ‘co-teaching’ sebagai antara pendekatan baharu bakal dilaksanakan dalam kurikulum persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia akan diperkenalkan di seluruh negara bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.
Katanya, kaedah ‘co-teaching’ dilaksanakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta berkesan kerana ia memberi ruang guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda UKM), Anuar Ahmad, berkata KPM perlu menjelaskan beberapa perkara asas kepada guru dan ibu bapa sebelum melaksanakan dasar tersebut secara menyeluruh.
Menurutnya, ia termasuk kesan terhadap masa pengajaran, kecukupan guru dan keadaan bilik darjah.
“Semua persoalan ini hanya boleh dijawab dengan yakin apabila laporan lengkap program rintis ‘co-teaching’ disiapkan.
“KPM perlu memastikan pelaksanaan ini benar-benar memperkukuh pengajaran, bukan sekadar menambah slogan baharu dalam dasar pendidikan,” katanya.