Guru AS ditembak murid 6 tahun dapat ganti rugi USD10 juta

Guru AS ditembak murid 6 tahun dapat ganti rugi USD10 juta

Pada Jan 2023, murid terbabit membawa senjata berkenaan ke sekolah sebelum menembak Abigail Zwerner hingga terkenaa tangan dan dadanya.

scales of justice gavel
Bekas guru sekolah rendah Abigail Zwerner dianugerahkan ganti rugi USD10 juta oleh juri di Virginia, AS selepas ditembak oleh murid berusia enam tahun hingga terpaksa menjalani lima pembedahan. (Gambar fail)
ANKARA:
Juri di negeri Virginia, Amerika Syarikat (AS) telah menganugerahkan ganti rugi berjumlah USD10 juta kepada seorang bekas guru sekolah rendah yang ditembak oleh murid berusia enam tahun, selepas mendapati seorang pentadbir sekolah mengabaikan tanda-tanda amaran yang jelas, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Abigail Zwerner memfailkan saman terhadap Ebony Parker, bekas penolong pengetua Sekolah Rendah Richneck di Newport News, kerana didakwa gagal bertindak walaupun menerima beberapa amaran bahawa murid berkenaan mungkin membawa senjata api ke sekolah, menurut laporan NBC News.

Menurut polis, pada 6 Jan 2023, kanak-kanak itu mengambil sepucuk pistol 9mm dari rumahnya dan membawanya dalam beg galas ke sekolah.

Kanak-kanak itu kemudian mengeluarkan senjata itu dan menembak Zwerner sekali, mengenai tangan dan dada guru berkenaan.

Walaupun cedera, Zwerner sempat membantu mengosongkan bilik darjahnya.

Menurut pasukan peguamnya, beliau telah menjalani lima pembedahan dan peluru masih berada di dadanya.

Peguam Zwerner berhujah bahawa Parker telah dimaklumkan oleh murid lain namun gagal bertindak tepat pada masanya untuk mengelakkan kejadian itu.

Pihak pembelaan Parker pula mendakwa beliau tidak dapat menjangkakan serangan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.