
Hakim Jamil Hussin memutuskan demikan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan, kerana ia tidak membuktikan semua elemen kesalahan dengan bukti yang boleh dipercayai.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan Yusoff mempunyai pengetahuan, penjagaan dan kawalan ke atas dadah dan pistol tiruan.
“Tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” kata Jamil selepas mendengar hujahan lisan.
Yusoff didakwa mengedar ganja seberat 305 gram yang ditemui dalam kenderaan itu ketika ia diletakkan di hadapan surau polis Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept 2024.
Dadah itu didakwa dibungkus dalam beg plastik hitam.
Dia juga didakwa memiliki pistol tiruan itu di luar Kondominium Senada di Jalan Bukit Kiara pada 9.25 pagi hari yang sama.
Dakwaan bagi pertuduhan memiliki senjata api palsu dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, dakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pihak pembelaan sebelum ini berhujah bahawa dadah dan pistol tiruan itu diletakkan secara sengaja untuk memerangkap Yusoff.
Dia ditahan di penjara Sungai Buloh kerana ikat jamin tidak dibenarkan bagi mereka yang didakwa mengedar dadah.
Jamil yang akan bersara pada November juga berkata, dua pegawai penyiasat itu gagal menyiasat dakwaan Yusoff terhadap pegawai yang merakam percakapannya, ketika dalam tahanan, bahawa dia mangsa perangkap individu tertentu.
“Pegawai polis mempunyai masa yang mencukupi untuk mengesahkan kenyataannya tetapi tidak berbuat demikian,” katanya sambil menambah ini telah menjejaskan tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Sabri Othman, Shahrizzat Amadan dan R Haravind mewakili pihak pendakwaan.
Peguam Rafique Rashid Ali, Gurdial Singh Nijar, Nurmustanir Nor dan Amirul Ar-Rashid Azman mewakili Yusoff.