Polis rampas dadah RM25.5 juta, suami isteri antara 5 ditahan

Polis rampas dadah RM25.5 juta, suami isteri antara 5 ditahan

Suspek warga tempatan dipercayai ahli rangkaian sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan menunjukkan rampasan pada sidang media di IPK Perlis. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Polis menahan lima individu termasuk suami isteri dan merampas 510kg dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM25.5 juta dalam tiga serbuan di kawasan Wang Kelian, Kaki Bukit dekat Padang Besar, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata suspek warga tempatan terdiri empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 37 tahun itu dipercayai ahli rangkaian sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak beberapa tahun lepas.

Hussein berkata, pasangan suami isteri dan seorang suspek lelaki yang menaiki dua kereta ditahan di sekitar jalan utama Wang Kelian menerusi serbuan pertama pada 24 Mac.

“Menerusi pemeriksaan lanjut dalam kereta dinaiki seorang suspek lelaki, polis berjaya merampas 20 guni yang mengandungi 500 peket plastik berisi dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media di IPK Perlis, hari ini.

Hussein berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke sebuah daripada kenderaan itu kerana menimbulkan ancaman kepada anggota serbuan yang berisiko menyebabkan kemalangan jiwa.

Katanya, tangkapan tiga individu itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki di sekitar Wang Kelian pada 27 dan 28 Mac.

“Ujian saringan air kencing mendapati empat suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod jenayah lampau mendapati semua mereka mempunyai rekod kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua mereka direman antara lima hingga tujuh hari bermula 25 Mac dan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, tindakan juga diambil bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan RM566,200 yang melibatkan sitaan enam kenderaan termasuk jenis pikap dan lapan motosikal.

Mengenai kumpulan sindiket itu, Hussein berkata ia antara sindiket pengedaran dadah dalam perhatian polis dengan mereka dipercayai mempunyai kepakaran menyeludup dadah menerusi laluan sempadan di negeri itu.

“Rangkaian sindiket ini antara yang aktif di sebelah Perlis dan dipercayai menyeludup masuk dadah menggunakan tenaga manusia menerusi kawasan hutan di Wang Kelian.

“Dadah dihantar ke lokasi transit berhampiran jalan besar Wang Kelian untuk diambil oleh mereka yang ditangkap sebelum dihantar ke lokasi transit lain,” katanya.

Hussein berkata, ketua kumpulan sindiket itu seorang lelaki tempatan berusia 40-an dan dipercayai melarikan diri ke Thailand dengan pihaknya akan memohon bantuan polis negara berkenaan untuk mengesan suspek.

Beliau berkata, bekalan dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan, Lembah Klang dan selatan serta boleh merosakkan 2.55 juta orang jika terlepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.