
Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Farhana Khalid, memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan bahawa notis penarikan balik rayuan itu telah difailkan baru-baru ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Supang Lian, bersama Hakim Ismail Brahim dan Hakim K Muniandy, kemudian membatalkan rayuan itu serta memerintahkan kerajaan membayar kos sebanyak RM15,000 kepada keluarga Koh.
Farhana sebelum itu memohon supaya mahkamah tidak mengenakan sebarang kos terhadap kerajaan.
Bagaimanapun, peguam keluarga Koh, Michelle Wong, membantah permohonan itu dengan alasan usaha besar telah dilakukan bagi menjawab rayuan berkenaan.
Beliau turut menuntut kos RM15,000 sambil menjelaskan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu telah difailkan bulan lalu.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerajaan bertanggungjawab atas kehilangan Koh.
Hakim Su Tiang Joo mendapati bahawa satu atau lebih pegawai polis, sama ada yang masih berkhidmat atau bekas anggota, yang dinamakan sebagai defendan, bertindak mengikut arahan dalam penculikan Koh sembilan tahun lalu.
Mahkamah turut mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi melebihi RM37 juta kepada keluarga mangsa.
Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.
Sepanjang perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian serba hitam menyerupai uniform tentera telah menariknya keluar dari kenderaan.