Pensyarah saman HKL atas kematian ibu dapat pampasan RM255,000

Pensyarah saman HKL atas kematian ibu dapat pampasan RM255,000

Mahkamah Tinggi dapati HKL bertanggungjawab atas kematian wanita berusia 80 itu pada 2020.

kl high court
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata Lim Lee Sim berjaya membuktikan wujudnya ‘kecuaian perubatan yang nyata’ di pihak Hospital Kuala Lumpur dan kakitangannya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menganugerahkan kira-kira RM255,000 ganti rugi kepada seorang pensyarah yang menyaman sebuah hospital kerajaan kerana gagal memberikan rawatan kepada ibunya, sehingga menyebabkan wanita berusia 80 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan kepala.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong berkata Lim Lee Sim berjaya membuktikan wujudnya ‘kecuaian perubatan yang nyata’ di pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kakitangannya.

Lim menamakan seorang doktor, pengarah HKL serta kerajaan sebagai defendan. Gan turut mendapati HKL dan kakitangannya bertanggungjawab terhadap kematian Tan Guan Eng.

Beliau menganugerahkan Lim RM150,000 sebagai ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan serta kehilangan kenikmatan hidup; RM100,000 sebagai ganti rugi teruk; dan RM4,420 sebagai ganti rugi khas.

Gan turut menganugerahkan Lim RM50,000 sebagai kos dalam kapasiti beliau sebagai pentadbir harta pusaka ibunya.

Dalam penghakimannya, Gan berkata terdapat satu siri kegagalan sistemik yang bermula sebaik Tan tiba di hospital itu kira-kira jam 7 pagi pada 28 Jan 2020.

Gan berkata walaupun Tan memaklumkan kepada pembantu perubatan bahawa beliau dilanggar kenderaan, beliau tidak menerima rawatan segera.

Beliau turut memutuskan bahawa beberapa kegagalan kritikal berlaku apabila tiada pemeriksaan ke atas kepala pesakit dilakukan selama beberapa jam selepas kedatangannya.

Gan berkata doktor berkenaan mengakui terlepas pandang keperluan untuk memeriksa kepala pesakit, walaupun telah dimaklumkan bahawa mangsa dilanggar kereta.

Tambahnya, Tan menunjukkan simptom jelas kecederaan otak termasuk muntah dan terjatuh dari tempat duduknya, namun mangsa dihantar untuk pemeriksaan ortopedik pada kaki.

“Mahkamah ini mendapati terdapat bukti kecuaian perubatan yang nyata di pihak kakitangan hospital.”

Gan berkata sekiranya pegawai perubatan di jabatan kecemasan menjalankan pemeriksaan menyeluruh dari kepala hingga kaki, beliau akan mengesan bengkak pada kepala susulan pendarahan dalaman yang serius serta membuat diagnosis lebih awal.

Sehubungan itu, beliau berkata pengarah hospital dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius terhadap kecuaian tersebut.

Peguam Harish Nair dan Maxine Lim mewakili Lim, manakala peguam persekutuan Low Qin Hui dan Minnie Chew mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.