Cukai bersasar lindung rakyat, tambah hasil, kata ahli ekonomi

Cukai bersasar lindung rakyat, tambah hasil, kata ahli ekonomi

Idham Razak berkata tambahan hasil RM5 bilion menerusi peluasan skop SST boleh digunakan untuk salur bantuan, terus pembangunan infrastruktur.

Ahli ekonomi berkata peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) juga bantu tingkat hasil untuk laksana insentif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
PETALING JAYA:
Semakan dan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai ini melindungi golongan berpendapatan rendah serta sederhana, kata ahli ekonomi.

Idham Razak berkata, pengecualian barangan keperluan asas dan perkhidmatan penting melegakan majoriti rakyat serta mengelakkan kenaikan sara hidup melampau jika dasar berkenaan dilaksanakan secara progresif.

Menurut pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, golongan berpendapatan rendah dan sederhana lazimnya memperuntukkan sebahagian besar gaji untuk keperluan asas seperti makanan, pendidikan dan kesihatan yang tidak dikenakan cukai.

“Menerusi fokus cukai barang mewah atau bukan keperluan, beban dijangka lebih tinggi pada golongan berpendapatan tinggi yang lebih banyak menggunakan barangan itu.

“Namun, keberkesanannya bergantung pada definisi ‘barang mewah’ – jika terlalu luas atau termasuk barang separa keperluan (seperti alat elektronik asas), risiko membebani kelompok sederhana tetap wujud,” katanya kepada FMT.

“Pemantauan berkala diperlukan untuk memastikan dasar ini benar-benar progresif.”

cukai barangan asas
Ubat-ubatan dan barangan keagamaan juga kekal sifar cukai jualan.

Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan kadar cukai sifar bagi keperluan asas dikekalkan manakala kadar antara 5% hingga 10% dikenakan ke atas barangan bukan keperluan mulai 1 Julai.

Cukai perkhidmatan pula akan diperluaskan merangkumi sewaan, pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.

Idham berkata pertambahan hasil dijangka RM5 bilion menerusi langkah itu dijangka memberi manfaat jangka panjang menerusi agihan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Pada November, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata peluasan cukai SST dijangka menjana pendapatan RM51.7 bilion tahun ini, lebih tinggi berbanding kutipan diunjurkan RM46.7 bilion.

infografik kadar cukai jualan
Infografik Kementerian Kewangan berhubung pelaksanaan kadar cukai jualan bermula 1 Julai depan.

Menurut Idham, peningkatan pendapatan itu juga menyokong kerajaan meneruskan pembangunan infrastruktur tanpa perlu memotong perbelanjaan sektor penting lain.

“Ia turut mencipta ruang fiskal untuk subsidi sasar atau insentif produktiviti seperti latihan kemahiran yang menyokong mobiliti ekonomi golongan rentan,” katanya yang mengingatkan keberkesanannya bergantung ketepatan agihan dana serta pengurusan telus.

Menurutnya, langkah itu juga mampu mengurangkan defisit belanjawan membolehkan kerajaan mengurangkan pinjaman dan liabiliti hutang.

“Secara ringkas, cukai bersasar berpotensi melindungi golongan berpendapatan rendah jika direka dengan baik manakala hasil tambahan menyokong dasar fiskal lebih mampan dan inklusif.”

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari Universiti Kuala Lumpur pula berkata semakan cukai terhadap beberapa produk dan perkhidmatan berisiko menaikkan kadar inflasi semasa iaitu 1.4% namun masih mampu dikawal.

“Hanya babit barangan bernilai tinggi dan mewah, bukannya barangan keperluan utama terutama makanan serta minuman,” katanya.

Mengulas perbandingan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Aimi menjelaskan perluasan skop SST secara bersasar itu mempunyai objektif sama seperti rejim percukaian diperkenalkan pemerintah pada 1 Apr 2015, iaitu menambah hasil.

“Ekonomi domestik negara yang terus rancak walaupun ekonomi global dicabar hebat, bukan satu masalah mencapai sasaran hasil kerajaan tambahan iaitu RM5 bilion,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.