
Dengan cukai perkhidmatan akan diperluas pada 1 Julai melibatkan sewaan dan pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan, dan kecantikan.
“Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST (cukai jualan dan perkhidmatan), kerajaan Madani mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.
“Kerajaan Madani mengambil langkah untuk tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan keperluan asas harian supaya tidak memberi kesan secara langsung kepada kos sara hidup majoriti rakyat dan kadar inflasi kekal terkawal,” kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan.
Pada November, Amir berkata peluasan cukai jualan dan perkhidmatan dijangka menjana pendapatan RM51.7 bilion pada 2025.
Ia mewakili tambahan pendapatan RM5 bilion berbanding kutipan SST yang diunjurkan RM46.7 bilion.
Antara barangan keperluan asas harian berkadar 0% adalah ayam, lembu, kambing, ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan, beras, barli, oat, gandum, tepung, sardin tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan.
Dalam pada itu, Amir berkata cukai jualan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas dikenakan antara 5% hingga 10%.
Mengulas peluasan cukai perkhidmatan, beliau berkata perkhidmatan sewaan dan pajakan akan dikenakan pada kadar 8%, dengan pengecualian antaranya ke atas penyewa perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan kurang RM500,000.
Bagi perkhidmatan kerja pembinaan, cukai perkhidmatan pada 6% bagi syarikat penyedia perkhidmatan mencapai nilai ambang RM1.5 juta. Cukai perkhidmatan juga tidak dikenakan ke atas bangunan kediaman dan kemudahan awam berkaitan rumah kediaman.
Amir berkata, bagi perkhidmatan kewangan, cukai tersebut akan dikenakan pada kadar 8% ke atas perkhidmatan kewangan berasaskan fi atau komisen.
“Perkhidmatan kewangan asas untuk rakyat kekal tidak dikenakan cukai perkhidmatan termasuk perbankan asas serta bayaran berasaskan faedah atau untung dalam prinsip pembiayaan syariah.”
Cukai perkhidmatan jagaan kesihatan swasta
Kementerian Kewangan berkata, cukai itu akan dikenakan pada kadar 6% ke atas perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, amalan tradisional, dan komplimentari dan kesihatan bersekutu kepada bukan warganegara, bagi penyedia mencapai nilai ambang RM1.5 juta.
Namun, kerajaan memberi layanan khas dengan mengecualikan warganegara daripada membayar cukai berkenaan bagi perkhidmatan jagaan kesihatan awam dan swasta serta amalan tradisional dan komplimentari meliputi perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, perubatan Islam, homeopati, kiropraktik, dan osteopati.
Individu warganegara turut dikecualikan cukai itu ke atas perkhidmatan kesihatan bersekutu antaranya rawatan fisioterapi, audiologi, dan terapi pertuturan.
Cukai perkhidmatan pendidikan
Amir berkata, cukai berkenaan akan dikenakan 6% ke atas pendidikan prasekolah, sekolah rendah, dan sekolah menengah swasta dengan yuran pengajian lebih RM160,000 setahun bagi seorang pelajar.
“Kerajaan Madani berpandangan pengenaan cukai perkhidmatan ke atas pendidikan swasta yang bernilai tinggi adalah lebih bersasar kepada golongan yang lebih berkemampuan, di mana bilangan sekolah terkesan adalah minimum.
“Sebagai tambahan, kerajaan Madani memberi pertimbangan khas untuk tidak mengenakan cukai itu kepada orang kurang upaya (OKU) warganegara Malaysia,” katanya.
Jelasnya, kerajaan tidak mengenakan cukai tersebut ke atas pendidikan tinggi warganegara Malaysia.
Cukai perkhidmatan kecantikan akan dikenakan pada kadar 8% ke atas nilai perkhidmatan bercukai RM500,000 dalam tempoh 12 bulan, seperti perkhidmatan rawatan muka dan dandanan rambut.