Hanya 0.6% penerima BUDI95 habiskan 300 liter pada Oktober

Hanya 0.6% penerima BUDI95 habiskan 300 liter pada Oktober

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata penerima BUDI95 bawah kategori persendirian secara purata catat penggunaan 98.2 liter sebulan dalam tempoh itu.

PETROL BUDI95
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan akan laksana tambah baik BUDI95 termasuk semakan terhadap had kelayakan tambahan bagi pemandu e-hailing.
PETALING JAYA:
Lebih 13 juta daripada 16 juta yang layak telah menikmati penjimatan subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 melibatkan sekitar RM800 juta setakat 31 Okt, menurut Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Seramai 13.1 juta rakyat telah melakukan transaksi BUDI95 dengan membelanjakan sebanyak RM2.66 bilion pada bulan pertama pelaksanaan.

“Jumlah transaksi ini melibatkan pembelian sebanyak 1.33 bilion liter RON95 bersubsidi. Daripada jumlah tersebut, kerajaan Madani telah menyalurkan subsidi sekitar RM800 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pelaksanaan BUDI95 tanpa proses yang rumit telah membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata penerima BUDI95 bawah kategori persendirian secara purata mencatat penggunaan 98.2 liter sebulan pada Oktober, jauh lebih rendah daripada had kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan.

Katanya, 0.6% pengguna persendirian telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan 300 liter setakat 26 Okt, manakala 0.3% pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan tersebut.

“Kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh pelaksanaan BUDI95, termasuk semakan terhadap had kelayakan tambahan bagi pemandu e-hailing supaya lebih saksama dan menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut, Amir berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa corak penggunaan luar biasa termasuk penerima yang menghabiskan keseluruhan had bulanan dalam tempoh singkat dan berulang kali membeli petrol di stesen berhampiran sempadan negara.

Justeru, kementerian itu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna bagi memastikan manfaat BUDI95 tidak diselewengkan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyelewengan atau penjualan semula petrol bersubsidi kepada pihak yang tidak berkelayakan. Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap pihak terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.