
Dalam kemalangan kira-kira 11.55 malam itu, Zulkifli Salleh, 54, disahkan maut di lokasi manakala Mohammad Zakquan Abdullah, 12, meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohd Suhaimi Razali, berkata dua mangsa itu menaiki Proton Waja bersama empat wanita lain.
“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan, iaitu trak pikap jenis Chevrolet, Perodua Kancil dan Proton Waja, yang dipercayai datang dari arah bertentangan.
“Mangsa lelaki yang maut dipercayai tersepit dan kami menjalankan operasi ‘size-up’ bagi mengeluarkan mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, mangsa cedera termasuk dua wanita dan tiga lelaki dalam trak pikap serta pemandu bersama dua penumpang Perodua Kancil, iaitu seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak berusia empat serta tujuh tahun.
Ketua Polis Machang, Ahmad Shafiki Hussin, mengesahkan menerima laporan berkaitan kemalangan itu.