
Wanita itu berkata, dia berasa tidak tentu arah dan hampir pitam selepas penyelia itu memberikan suatu bahan yang tidak diketahui kepadanya pada 21 Mei. Penyelia itu kemudian menawarkan diri untuk menghantar wanita itu pulang namun melengah-lengahkannya.
Mangsa berkata, dia kemudian menghubungi rakannya, yang segera menghubungi ambulans setibanya dia di lobi kondominium.
Di hospital, wanita itu diperiksa selama tiga jam dan ujian air kencing menunjukkan keputusan positif dadah jenis narkotik. Wanita itu mendakwa, dia tidak pernah menggunakan dadah.
Apabila dia melaporkan kejadian itu kepada polis, seorang pegawai mempersoalkan niatnya dan curiga tentang hubungannya dengan penyelia itu.
“Saya diberitahu agar tidak kembali ke (tempat kerja) atau balai polis mengenai perkara itu kerana saya boleh ditahan kerana ujian dadah positif,” tulis mangsa dalam laporannya.
Dia juga mendakwa pegawai itu turut menakut-nakutkan rakannya, bertanya sama ada dia mempunyai wang untuk menjamin wanita itu.
Wanita itu juga bimbang rakaman CCTV di tempat kerjanya mungkin telah dipadam dan dia tidak puas hati kerana kenyataannya tidak direkodkan secara rasmi sebelum pegawai itu mengisytiharkan kes itu ditutup.
Dia kini menuntut siasatan penuh terhadap kelakuan penyelianya dan sikap pegawai polis itu berhubung aduannya.
Ketika dihubungi FMT, polis enggan mengulas mengenai kes itu, sebaliknya menegaskan perkara itu sedang disiasat.