Dokumen palsu pemain warisan: FAM buat laporan polis

Dokumen palsu pemain warisan: FAM buat laporan polis

Laporan polis dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas, kata Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi.

logo FAM
Pada 16 Dis, IIC syor FAM buat laporan polis agar pihak berkuasa dapat siasat asal-usul dokumen yang dipalsukan serta cari pihak yang bertanggungjawab. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat laporan polis hari ini berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi berkata, tindakan ini dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif, usai siasatan baru-baru ini.

“Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara,” kata Yusoff.

Turut hadir mengiringi Yusoff membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya, Naib Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM Saaran Nadarajah dan seorang lagi naib presiden, Mohd Azhar Jamaluddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Media.

Pada 16 Dis, IIC mengesyorkan FAM membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat menyiasat asal-usul dokumen yang dipalsukan itu serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Bulan lepas, Fifa berkata, pihak berkuasa di Malaysia harus memulakan siasatan berhubung pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan terbabit, menegaskan bahawa pemalsuan adalah satu kesalahan ‘bawah hampir semua bidang kuasa’.

Badan induk bola sepak dunia itu mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Malaysia pada September berhubung kesalahan mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

FAM didenda 350,000 Swiss francs (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda 2,000 Swiss francs (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada sebarang kegiatan berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis.

FAM telah memulakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuannya kepada Fifa ditolak pada 3 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.