Bukit Aman buka kertas siasatan kes dokumen palsu pemain warisan

Bukit Aman buka kertas siasatan kes dokumen palsu pemain warisan

Siasatan dijalankan ikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan berkait kesalahan pemalsuan bagi tujuan penipuan, kata pengarah JSJK.

RUSDI MOHD ISA
Pengarah JSJK Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini, dua rakaman percakapan telah diambil bagi membantu siasatan kes. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan pemalsuan bagi tujuan penipuan.

Beliau menambah, setakat ini, dua rakaman percakapan telah diambil bagi membantu siasatan kes, lapor Bernama.

Kes disiasat susulan laporan polis yang dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di IPD Petaling Jaya semalam berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi semalam berkata, tindakan ini dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif, usai siasatan baru-baru ini.

Pada 16 Dis, IIC mengesyorkan FAM membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat menyiasat asal-usul dokumen yang dipalsukan itu serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Bulan lepas, Fifa berkata, pihak berkuasa di Malaysia harus memulakan siasatan berhubung pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan terbabit, menegaskan bahawa pemalsuan adalah satu kesalahan ‘bawah hampir semua bidang kuasa’.

Badan induk bola sepak dunia itu mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Malaysia pada September berhubung kesalahan mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

FAM didenda 350,000 Swiss francs (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda 2,000 Swiss francs (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada sebarang kegiatan berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis.

FAM telah memulakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuannya kepada Fifa ditolak pada 3 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.