Polis serah laporan kes tembak Melaka kepada peguam negara

Polis serah laporan kes tembak Melaka kepada peguam negara

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak bertolak ansur terhadap sebarang salah laku.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Ketua Polis Negara Khalid Ismail memberi jaminan siasatan rapi dan telus dijalankan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata polis menyerahkan laporan kes tiga lelaki ditembak mati di Melaka bulan lalu kepada peguam negara hari ini untuk tindakan lanjut.

Beliau dalam sesi soal jawab di Dewan Negara berkata Ketua Polis Negara, Khalid Ismail memberi jaminan siasatan rapi dan telus dijalankan tanpa tolak ansur.

“Tiada tolak ansur (terhadap sebarang salah laku),” katanya menjawab soalan Senator Amir Ghazali.

Tetapi, menurutnya, ada keperluan untuk membezakan anggota polis melampaui batas ketika menjalankan tugas, yang tidak patut diabaikan, dan anggota menggunakan kekerasan wajar ketika berdepan penjenayah mengancam nyawa mereka.

“Sebab itu kita meminta pihak polis melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut undang‑undang.”

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi badan pemantau seperti Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk melaporkan sebarang salah laku pihak berkuasa.

Pada 24 Nov lalu, tiga lelaki ditembak mati selepas seorang daripadanya dikatakan menyerang anggota polis menggunakan parang di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal menyebabkan seorang anggota berpangkat koperal parah di lengan kiri.

Pada 3 Dis lalu, media melaporkan ahli keluarga tiga suspek itu menolak dakwaan mereka bertindak ganas dengan menyerang pasukan polis.

Keesokannya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar dilaporkan berkata, sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

Peguam mewakili keluarga M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29, dilaporkan berkata rakaman audio serta bukti forensik mencadangkan mereka dibunuh gaya hukuman mati.

Keluarga mangsa menyerahkan satu CD mengandungi rakaman audio, dipercayai perbualan telefon seorang mangsa dan isterinya sebelum kejadian, kepada polis.

Susulan itu, timbul desakan untuk inkues dan siasatan bebas dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.