Lelaki cedera dilanggar selepas bertengkar di plaza tol

Lelaki cedera dilanggar selepas bertengkar di plaza tol

Pertengkaran berlaku selepas kereta dipandu isteri mangsa ‘tersangkut’ di laluan RFID.

Rempuh kereta di TOL Penang
Rakaman kamera papan pemuka menunjukkan lelaki itu dirempuh selepas bertengkar dengan pemandu lain di plaza tol Perai pada lewat Ahad.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki cedera dilanggar kereta di plaza tol di Pulau Pinang selepas meminta pemandu berkenaan mengundur ketika kenderaan dipandu isterinya “tersangkut” di laluan RFID.

Isteri lelaki itu yang berusia 31 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Seberang Perai Tengah berhubung kejadian berkenaan, di plaza tol Perai berhampiran Lingkaran Luar Butterworth, sekitar jam 11.30 malam semalam.

Wanita itu dalam laporannya berkata, suaminya keluar dari kenderaan mereka dan meminta kereta di belakangnya mengundur supaya beliau dapat mengundur keluar dari laluan RFID itu selepas mendapat amaran tag tidak sah. Bagaimanapun, pertengkaran tercetus antara dua lelaki berkenaan.

“Pada ketika itu, tiba-tiba motokar tersebut telah melanggar suami saya dan terus melanggar motokar saya,” menurut laporan berkenaan.

Katanya, kereta itu kemudian terus meninggalkan tempat kejadian. Wanita itu tidak mengalami kecederaan tetapi suaminya mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam akibat cedera di lengan kiri, rusuk kiri dan kaki kanan.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka, pemandu kereta kedua keluar dari kenderaannya dan dilihat seperti mengambil sesuatu di tempat duduk belakang. Dia kemudian didengar menjerit kepada kereta di hadapannya supaya beralih.

Suami wanita itu didengar memanggil lelaki itu “bodoh” dan memintanya mengundur memandangkan mereka tidak dapat melepasi laluan berkenaan. Beliau juga didengar menuduh pemandu berkenaan “minum” dan memintanya tidak membuat kacau.

Dua lelaki itu terus bertengkar sebelum kereta kedua itu mengundur. Suami wanita berkenaan dilanggar ketika mengisyaratkan supaya kereta lain turut mengundur.

Mangsa dilihat bangun dan mengejar kereta itu sambil menjerit bahawa mereka mempunyai rakaman kamera papan pemuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.