Didakwa hina TMJ, lebih 50 laporan polis dibuat terhadap Fahmi Reza

Didakwa hina TMJ, lebih 50 laporan polis dibuat terhadap Fahmi Reza

Artis grafik kontroversi itu dikatakan telah menghina Tunku Ismail Sultan Ibrahim di media sosial.

Aznan Tamin and Khairin-Nisa Ismail
Exco Johor Aznan Tamin (kiri) dan Khairin-Nisa Ismail membuat laporan polis di ibu pejabat polis Iskandar Puteri semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lebih 50 laporan polis telah dibuat terhadap artis grafik Fahmi Reza atas dakwaan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di media sosial.

Laporan dibuat oleh NGO, pertubuhan belia, pemimpin masyarakat, individu perseorangan serta dua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, iaitu Aznan Tamin dan Khairin-Nisa Ismail.

Menurut portal berita milik kerajaan negeri, Media Digital Johor, laporan polis itu dibuat di pelbagai daerah di seluruh negeri, termasuk oleh lebih 20 Adun.

Semalam, Aznan berkata kenyataan Fahmi mencabar prinsip raja berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menyinggung perasaan rakyat Johor dan berpotensi mengganggu ketenteraman awam.

Fahmi sejak beberapa tahun lalu dikenali sebagai figura kontroversi, sering menghasilkan grafik satira yang menyasarkan tokoh politik merentasi pelbagai blok.

Awal bulan ini, beliau dipanggil polis berhubung penggunaan pelekat tikus dengan perkataan ‘PM’ bagi merujuk kepada perdana menteri semasa satu siaran langsung di TikTok.

Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong mengecam siasatan polis tersebut dan menggesa kerajaan menghentikan tindakan menghukum oleh agensi penguat kuasa terhadap pengkritik Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.