
Pemimpin yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, berkata tiada satu parti politik Melayu berupaya membawa orang Melayu bersama. Perpaduan Melayu tidak dapat dicapai dalam ruang lingkup parti politik kerana mereka semua ‘mempunyai agenda tersendiri’, katanya.
“Kita mahu orang Melayu bersatu dan mengundi orang Melayu. Apabila PRU akan datang, ada kaedah untuk orang Melayu menyokong calon memperjuangkan kepentingan Melaya,” katanya tanpa penjelasan lanjut.
“PN tidak boleh satukan orang Melayu, parti politik Melayu lain juga sama.
“Parti ini ada agenda sendiri dan mereka tidak mampu satukan kita,” kata Mahathir yang juga bekas presiden Umno.
Beliau berkata demikian pada pelancaran buku terbaharunya, ‘100 Pesan Tun: Membina Keluarga Dan Bangsa’.
Mahathir, yang menjadi perdana menteri di bawah Barisan Nasional bermula 1981 hingga 2003 dan bawah Pakatan Harapan (PH) bermula 2018 hingga 2020, juga menjelaskan beliau tidak lagi terkait dengan mana-mana parti politik.
Ditanya sama ada beliau akan memainkan apa jua peranan menjelang PRU16 atau bekerjasama dengan mana-mana parti politik, Mahathir berkata tumpuan hanya terarah memupuk perpaduan dalam kalangan orang Melayu.
“Saya sentiasa mempromosikan perpaduan Melayu. Hanya dengan orang Melayu bersatu kembali kuat dan memimpin negara ini.
“Jika orang Melayu kekal berpecah dan gagal bersama, mereka akan kehilangan pengaruh dan tiada peranan pada PRU16.”
Berbekalkan pengalaman luas menerajui pelbagai platform politik berdekad lamanya, Mahathir ada menyebut penentangan bersejarah terhadap Malayan Union sebagai contoh kecekapan perpaduan Melayu.
Malayan Union adalah struktur politik digagaskan kerajaan kolonial British pada 1946 bagi menyatukan negeri Melayu dan Negeri Selat (tidak termasuk Singapura) dalam satu entiti pentadbiran.
Ia bertujuan memudahkan pentadbiran kolonial dan menggalakkan pembangunan ekonomi British Malaya selepas Perang Dunia II.
Kesan bantahan dan penentangan meluas dalam kalangan orang Melayu, British tidak meneruskan rancangan Malayan Union pada 1948.
Ia digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang mengembalikan kuasa raja-raja Melayu dan memperkenalkan peraturan ketat kewarganegaraan.
“Kami masih ingat ketika kami menentang Malayan Union. Pada masa itu, orang Melayu miskin dan tiada wang, namun mereka mampu mencabar British dan menang,” katanya.
“Mengapa? Kerana mereka bersatu. Hari ini, mereka tidak boleh menang – kerana mereka tidak bersatu.”