
Doktor hanya mahu dikenali sebagai Dr Akram mendakwa, graduan perubatan kita ada di semua hospital di Singapura, serta menjadi pilihan lantaran sistem doktor pelatih Malaysia yang holistik.
“Hospital yang saya bertugas ini, 40% petugas perubatan adalah graduan universiti terkemuka di Malaysia,” katanya, yang sudah setahun berkhidmat di negara pulau itu.
Akram menerima tawaran untuk menabur bakti di Singapura selepas enam bulan memulakan tugas pegawai perubatan di sebuah hospital di Malaysia.
“Singapura mahu bina dua hospital baru, sudah tentu lebih ramai graduan perubatan atau pegawai perubatan dari Malaysia akan dipancing ke sini,” katanya.
Menurut laman sesawang Kementerian Kesihatan Singapura, terdapat 11 hospital awam di republik itu di samping sembilan hospital swasta, dan 10 pusat pakar untuk kanser, jantung, mata, kulit, sains neuro, penyakit berjangkit, dan pergigian.
Pada 20 Mac lalu, akhbar The Star melaporkan terdapat peningkatan dalam trend graduan perubatan berlepas ke Singapura untuk latihan siswazah (housemanship).
Dekan Fakulti Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Marina Mat Baki, berkata seramai 30 berpindah ke Singapura pada 2023, berbanding 25 pada 2022, 15 pada 2021, dan hanya dua pada 2020.
Sementara itu, Akram berkata beliau dimaklumkan oleh rakan-rakan sebidang bahawa ramai pegawai perubatan mempunyai rancangan untuk bekerja di luar negara.
Katanya, mereka tertarik dengan gaji yang lumayan dan kemudahan lain, serta layanan dan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan, setimpal dengan tanggungjawab dan beban tugas yang dipikul.
“Sejujurnya, ramai penuntut perubatan di dua universiti popular tempatan sedang mengintai peluang dan berminat menyertai kami di sini,” katanya.
Katanya, sistem di Malaysia memberikan latihan dan pendedahan secukupnya, tetapi mendakwa kebanyakan pegawai perubatan ‘burnout’ lantaran isu layanan, kebajikan, serta tiada keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.
“Lebih perit gejala ini seakan tiada penghujung,” katanya.
Akram berkata, pegawai perubatan bawahan (junior) di Singapura terima elaun pegawai perubatan setiap bulan, elaun perumahan setiap bulan, dan elaun kesejahteraan diri setiap tahun, serta bonus prestasi dan bonus ‘variable’ korporat, di samping gaji dan bayaran tunggu sedia (on-call) pada hari biasa, hujung minggu, dan kelepasan am.
Mereka juga diberi cuti tahunan, cuti sakit, cuti tanpa cuti sakit, cuti kahwin, cuti keperluan keluarga, cuti latihan atau kursus, dan cuti hari kelahiran.
Akram berkata, memohon cuti juga mudah berbanding di Malaysia yang ‘tidak cukup tenaga kerja’.
“Di sini, setiap hospital ada doktor pakar, pegawai perubatan dan doktor pelatih tersendiri. Di Malaysia, doktor pakar kita terpisah-pisah contoh pakar jantung di Hospital Serdang dan lain-lain,” katanya.
Menurutnya, bilangan pesakit yang dirawat oleh seorang pegawai perubatan juga tidak seramai di Malaysia.
“Di sini, seorang pegawai perubatan akan merawat hanya 20 pesakit sehari tetapi di Malaysia, seorang doktor terpaksa merawat sehingga 40 pesakit sehari,” katanya.