
Presiden MMA, Dr R Thirunavukarasu, berkata masalah sebenar yang dihadapi ialah prospek kerjaya yang suram, elaun ‘on-call’ yang tidak mencukupi, tempat kerja toksik serta laluan kerjaya yang tidak jelas yang mendorong doktor meninggalkan Malaysia.
“Faktor penolak di dalam negara jauh lebih kuat daripada faktor tarikan di luar negara,” katanya dalam kenyataan.
“Malaysia tidak mampu terus kehilangan doktor. Penyelesaiannya bukan dengan menuntut pampasan daripada pihak lain, tetapi dengan mewujudkan persekitaran di mana doktor kita berasa dihargai, disokong, dan diyakinkan tentang masa depan kerjaya mereka.”
Thirunavukarasu berkata, kenaikan bayaran on-call untuk doktor tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga 2026 sedangkan ia telah diluluskan pada April tahun ini, sebagai contoh.
“Pelaksanaan perlu dilakukan segera bagi memulihkan semangat dan keyakinan doktor terhadap kerajaan, kerana mereka inilah yang sedang memikul beban sistem kesihatan awam negara.”
Minggu lalu, bekas menteri persekutuan Abdul Rahman Dahlan mencadangkan supaya Singapura membayar pampasan kepada Malaysia bagi menampung sepenuhnya kos subsidi yang dibelanjakan untuk mendidik dan melatih doktor serta jururawat yang kemudiannya bekerja di republik itu.
Beliau berkata, tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada usaha menghalang profesional perubatan berhijrah ke Singapura, tetapi mencari jalan untuk mendapatkan semula kos tinggi yang dibelanjakan untuk melatih mereka di Malaysia.
Rahman menambah, pampasan yang dicadangkan itu sepatutnya ditanggung oleh majikan di Singapura, bukannya pekerja Malaysia.
Sekiranya kerajaan ingin mempertimbangkan cadangan itu, Thirunavukarasu berkata ia hanya wajar dikenakan kepada graduan perubatan tajaan kerajaan atau mereka yang terikat kontrak.
“Graduan yang dibiayai sendiri tidak wajar dihukum kerana mereka telah menanggung kos sendiri. Sebarang kerangka yang dibangunkan mesti adil, telus dan sejajar dengan norma antarabangsa berkaitan mobiliti tenaga kerja.”