
Dr Leong Yuet Mae berkata, hanya doktor boleh mendapatkan gambaran penuh kesihatan seseorang berkaitan influenza.

“Diagnosis memerlukan penilaian klinikal, bukan hanya kit ujian kendiri,” kata Dr Eugene Chooi, presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Selangor dan Kuala Lumpur.
Doktor membantah cadangan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) supaya kerajaan mempertimbangkan kelulusan kit ujian kendiri untuk influenza.
Tetapi, Leong berkata, simptom influenza sering menyerupai jangkitan lain dan ujian kendiri tidak mampu membezakannya dengan tepat.
“Ketika ini, klinik am (GP) sudah berfungsi sebagai pusat sehenti untuk rawatan influenza yang selamat dan berasaskan bukti di bawah pengawasan profesional,” katanya kepada FMT.
Chooi berkata, “penting untuk diingatkan keputusan positif ujian selesema tidak mengecualikan keadaan perubatan lain. Jangkitan pernafasan seperti bronkitis, pneumonia atau virus baru muncul boleh menunjukkan simptom sama”.
Ahli farmasi dalam cadangan mereka untuk kelulusan kit ujian kendiri, memetik penularan jangkitan influenza dan keperluan pengesanan lebih pantas bagi mencegah penyebaran penyakit ini.
Presiden MPS, Amrahi Buang, berkata pengenalan kit ujian kendiri influenza tepat pada masanya dan relevan kerana rakyat Malaysia sudah biasa dengan ujian kendiri sejak pandemik Covid-19.
Ketua kumpulan doktor swasta lain tidak menolak cadangan itu secara langsung.
Dr Shanmuganathan TV Ganeson, presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, berkata penting untuk mengenal pasti pengeluar boleh dipercayai sebelum memulakan sebarang pelancaran kit ujian kendiri secara meluas.
“Jika pasaran dibanjiri kit ujian kendiri tidak boleh dipercayai, maka kita akan berdepan banyak masalah,” katanya kepada FMT sambil menambah beberapa bentuk semak dan imbang perlu untuk memastikan orang ramai tidak menyalahgunakan kit itu.
Beliau menekankan penggunaan keputusan positif palsu secara meluas untuk mendapatkan sijil perubatan ketika pandemik Covid-19 sebagai masalah utama yang perlu diberi perhatian.
“Ada individu mendakwa keputusan ujian mereka positif untuk tidak bekerja dan mendapatkan sijil cuti sakit. Siapa yang akan mengesahkan keputusan ini?” soalnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib yang menyokong cadangan MPS, berkata kit ujian kendiri influenza boleh berjaya seperti kit Covid-19 ketika pandemik.
“Memperkasakan orang ramai untuk tahu status kesihatan sendiri membolehkan mereka memutuskan sama ada perlu mendapatkan rawatan perubatan atau tidak. Mereka boleh memutuskan untuk menggunakan ubat yang dijual atau mendapat nasihat ahli farmasi.”
Beliau memberitahu FMT, penggunaan kit influenza “dapat membantu mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital dengan ketara”.