Preskripsi kabur: Krisis senyap dalam kesihatan awam

Preskripsi kabur: Krisis senyap dalam kesihatan awam

Tulisan kabur dalam preskripsi bukan sekadar isu estetika — ia ancaman senyap yang boleh memisahkan antara ubat dan mudarat.

Bilakah kali terakhir anda cuba membaca tulisan doktor dalam kad hospital atau preskripsi ubat anda? Saya sendiri pernah mengalaminya, malah ada juga ketikanya slip preskripsi milik seorang saudara terdekat, yang saya bawa ke farmasi gagal dibaca.

Akhirnya mereka terpaksa menghubungi doktor terbabit kerana ada ahli farmasi yang kenal dengan doktor tersebut. Ada yang ketawa kecil, ada yang menggeleng sambil mengaku menyerah sebelum
sempat mencuba.

Realitinya, tulisan doktor sering dianggap misteri yang hanya boleh difahami oleh penulisnya sendiri — atau ahli farmasi yang sudah terbiasa dengan lenggok ‘cakar ayam’ perubatan.

Di media sosial, slip preskripsi yang kabur kerap dijadikan bahan lawak. Ramai berkongsi gambar preskripsi dengan komen sinis, “ini bukan ubat, ini kod rahsia.” Tetapi di sebalik lawak, ada risiko yang serius.

Arahan ubat yang tidak jelas boleh menyebabkan pesakit tersalah makan dos, mengambil ubat yang salah, atau gagal mengikuti arahan dengan tepat. Dan dalam dunia perubatan, kesilapan kecil boleh membawa kesan yang besar — bahkan meragut nyawa.

Beban kerja dan budaya menulis cepat

Doktor sering dikaitkan dengan beban tugas yang luar biasa. Di hospital kerajaan, seorang pegawai perubatan mungkin berdepan dengan lebih 10 jam kerja sehari, merawat puluhan pesakit tanpa henti.

Dalam keadaan itu, menulis cepat jadi satu keperluan. Tiada ruang untuk huruf berseni atau ayat panjang. Ditambah pula dengan istilah perubatan yang kompleks, doktor lazimnya menggunakan
singkatan atau simbol untuk menjimatkan masa.

Alasan ini mungkin logik bagi doktor yang berlumba dengan masa. Namun, ia membuka ruang kepada risiko salah faham. Apa yang jelas bagi seorang doktor mungkin menjadi teka-teki bagi ahli farmasi baharu, apatah lagi pesakit biasa.

Seorang ahli farmasi di Seremban berkongsi, mereka pernah terpaksa menghubungi doktor beberapa kali sehari hanya untuk memastikan ubat yang ditulis benar-benar tepat. “Kalau silap, pesakit yang menanggung akibatnya,” katanya.

Risiko kesilapan bukan sekadar teori

Isu ini bukan sekadar keluhan pesakit di Malaysia. Di seluruh dunia, masalah tulisan doktor sudah terbukti membawa akibat buruk. Laporan Institut Perubatan Amerika Syarikat pada 2006 menganggarkan lebih 7,000 kematian setahun berpunca daripada preskripsi yang salah kerana tulisan tidak jelas.

Di United Kingdom, seorang wanita mengalami kecederaan mata selepas menerima krim untuk disfungsi ereksi akibat preskripsinya tersilap dibaca. Di India pula, isu ini sampai ke mahkamah.

Hakim di Punjab dan Haryana High Court menegaskan bahawa preskripsi jelas adalah ‘hak asasi pesakit’ kerana ia boleh membezakan antara hidup dan mati. Mahkamah mengarahkan doktor
menulis preskripsi dengan jelas atau dalam huruf besar sementara menunggu sistem e-preskripsi dilaksanakan.

Arahan ini kelihatan tegas, tetapi ia lahir daripada kesedaran bahawa tulisan kabur boleh membawa tragedi. Malaysia jarang menonjolkan data rasmi mengenai isu ini. Namun, pengalaman
lapangan sudah cukup membuktikan masalahnya.

Beberapa pesakit di luar bandar mengadu mereka tidak faham arahan ubat, tetapi takut bertanya semula kerana bimbang dianggap ‘melawan doktor’. Ada juga kisah pesakit warga emas yang tersalah makan ubat kerana bergantung kepada tafsiran sendiri.

Semua ini mungkin tidak masuk laporan rasmi, tetapi ia tetap realiti di sebalik pintu wad dan kaunter farmasi.

Suara dari lapangan

Di farmasi, masalah tulisan doktor sudah menjadi rutin. “Kadang-kadang macam teka silang kata,” kata seorang ahli farmasi muda di Melaka.

Beliau menambah, pengalaman beberapa tahun membantu mereka mengagak maksud tulisan doktor tertentu, tetapi setiap kali tetap ada risiko tersilap.

Bagi pesakit pula, keadaan ini menimbulkan rasa tidak berdaya. Seorang pesara guru di Perlis menceritakan bagaimana beliau tersalah makan ubat kerana preskripsi tidak jelas. Mujur keluarganya cepat menyedari kesilapan sebelum keadaan menjadi parah.

“Saya rasa pelik kerana badan semakin lemah. Rupa- rupanya ubat yang dimakan bukan untuk penyakit saya,” katanya.

Cerita-cerita begini mungkin kedengaran terpencil, tetapi ia menggambarkan betapa tulisan boleh menentukan nasib pesakit.

Jalan keluar digital masih perlahan

Sebenarnya, penyelesaian sudah ada: rekod perubatan elektronik dan e-preskripsi. Di beberapa hospital besar di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor, sistem ini sudah mula digunakan.

Doktor menaip, rekod disimpan automatik, farmasi menerima salinan digital — semua jelas, tiada risiko salah tafsir.

Namun, pelaksanaannya masih jauh daripada menyeluruh. Klinik swasta kecil dan hospital daerah masih bergantung kepada kad bertulis tangan.

Kos, infrastruktur dan capaian internet sering menjadi alasan. Ada klinik luar bandar yang masih menyimpan rekod di kad manila lusuh bertahun-tahun, rawan hilang atau rosak.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pernah menyokong penggunaan e-preskripsi tetapi mengingatkan cabaran praktikal. Jika seorang doktor perlu melihat 70 pesakit
sehari, sistem digital yang perlahan akan menambah masalah. Tetapi jika sistem itu cekap dan mesra pengguna, ia mampu menjimatkan masa serta menyelamatkan
nyawa.

Persoalannya, adakah kita sanggup menunggu sehingga berlaku tragedi besar sebelum mempercepat transformasi digital kesihatan?

Integriti dan profesionalisme perubatan

Tulisan doktor bukan sekadar soal estetika. Ia mencerminkan integriti dan profesionalisme. Doktor diberi amanah dengan nyawa manusia. Nyawa itu tidak boleh dipertaruhkan hanya kerana kelaziman menulis cepat.

Dunia sudah berubah— hampir semua urusan kini digital, daripada membeli makanan hingga ke urusan bank. Mengapa bidang perubatan, yang paling kritikal kepada keselamatan, masih
terikat dengan budaya lama?

Langkah sementara perlu dipertimbangkan. Malaysia boleh mewajibkan preskripsi ditulis dalam huruf cetak yang mudah dibaca, sementara menunggu pelaksanaan penuh e-preskripsi. Farmasi tidak lagi perlu meneka, pesakit pula lebih yakin dengan rawatan.

Pendidikan perubatan juga boleh menekankan aspek komunikasi bertulis, bukan sekadar kemahiran klinikal.

Garis antara ubat dan mudarat

Tulisan doktor sering dianggap perkara kecil, lumrah yang sudah lama diterima. Tetapi apabila ia boleh menukar arah rawatan pesakit, masalah ini tidak boleh lagi dianggap remeh.

Transformasi digital dalam sistem kesihatan mesti dipercepatkan, bukan sekadar untuk meningkatkan kecekapan, tetapi demi keselamatan rakyat.

Setiap preskripsi bukan hanya sekeping kertas. Ia garis halus antara ubat dan mudarat, antara sembuh dan tragedi.

Di era moden ini, tidak sepatutnya nyawa manusia masih digadaikan hanya kerana tulisan tangan yang kabur.

 

Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.