
Pengerusi SPA, Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata pelantikan berkenaan, sebenarnya telah dimulakan lebih awal melalui lantikan secara interim sebelum pelantikan tetap dilaksanakan secara menyeluruh.
“Pelantikan itu sebenarnya telah kita mulakan lebih awal melalui lantikan secara interim. Kini, kita telah melaksanakan pelantikan tetap bagi mereka, jadi tidak timbul sebarang masalah dan proses lancar.
“Proses pelantikan ini juga akan diteruskan dan disegerakan sebaik mungkin, seperti yang disarankan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini pelantikan 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Jailani berkata SPA baru-baru ini telah melaksanakan pelantikan tetap lebih daripada 3,000 jururawat, melibatkan lantikan baharu serta pengesahan jawatan bagi jururawat yang sebelum ini berstatus interim.
“Tiada tempoh perkhidmatan tetap ditetapkan, justeru mana-mana calon yang memenuhi syarat akan dilantik terus ke jawatan tetap tanpa sebarang halangan.
“Pelantikan sementara (interim) juga akan disusuli dengan pelantikan tetap, setelah proses penilaian dan syarat-syarat lain di bawah SPA dipenuhi. Segala tuntutan berkaitan telah dan akan dipenuhi dan mereka yang layak akan menerima jawatan tetap,” katanya.
Beliau berkata SPA turut menegaskan bahawa kaedah pelantikan akan dikaji secara lebih terperinci, bagi memastikan kelestarian perkhidmatan kesihatan awam dalam jangka panjang, selaras keperluan semasa dan dasar kerajaan.
Dalam pada itu berkenaan program hari ini, Jailani berkata pusat temu duga baharu di UTC Ipoh itu bagi memperkukuh kemudahan serta kecekapan proses pengambilan perkhidmatan awam di negeri Perak.
Beliau berkata pusat berkenaan bukan sahaja berperanan sebagai lokasi rasmi temu duga, malah turut menyediakan khidmat konsultasi dan penyampaian maklumat secara tepat kepada calon serta orang awam.