
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata empat lelaki masuk ke hutan itu dan berpecah kepada dua kumpulan untuk mencari hasil hutan.
“Satu kumpulan terdiri daripada dua orang telah keluar dari kawasan hutan dengan selamat, manakala dua lagi belum dapat dikesan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan dengan radius pencarian 1km dari lokasi mangsa dilaporkan hilang ditangguhkan 4 petang semalam akibat hujan lebat dan akan disambung semula pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Lahad Datu, Jimmy Panyau mengesahkan dua mangsa masih hilang merupakan anggota tentera berumur 37 dan 41 tahun.
Katanya, mereka dipercayai sedang memukat ikan di Sungai Sri Darun sebelum mengikuti laluan cabang sungai kecil dan memasuki kawasan hutan untuk mencari akar kayu bagi tujuan perubatan.