Calon GRS Silam janji wujud lebih banyak peluang kerja untuk belia Sabah

Calon GRS Silam janji wujud lebih banyak peluang kerja untuk belia Sabah

Mizma Appehdullah berkata peluang pekerjaan itu akan diwujudkan di Silam dan Lahad Datu amnya jika GRS diberi mandat pada PRN Sabah.

Calon GRS di DUN Silam Mizma Appehdullah berkata beliau tidak mahu melihat anak muda berhijrah keluar dari Sabah berikutan kurangnya peluang pekerjaan di negeri itu. (Gambar Bernama)
LAHAD DATU:
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam Mizma Appehdullah akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Silam dan Lahad Datu amnya sekiranya diberi mandat dalam PRN Sabah ke-17.

Beliau berkata perancangan itu antara terkandung dalam manifesto GRS, selaras dengan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan golongan belia tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Melalui (dasar) SMJ yang diperkenalkan kerajaan negeri, lebih banyak pelabur dari luar negara akan membuka kilang yang menawarkan banyak pekerjaan kepada anak-anak muda di Sabah, tidak terkecuali di Lahad Datu.

“Kita tidak mahu anak muda berhijrah keluar dari Sabah kerana tiada tawaran (pekerjaan) kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas program bersama belia dan pemandu e-hailing di Bandar Lahad Datu di sini hari ini.

Mizma berkata sudah tiba masanya ada wakil rakyat yang serius mengangkat industri pelancongan di kawasan Silam bagi memberi limpahan ekonomi penduduk sekitarnya.

Mengenai usaha memperkasakan golongan belia, Mizma berkata beliau sentiasa mengadakan program bersama golongan itu sebelum musim pilihan raya bagi mendengar permasalahan mereka seterusnya membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

Beliau berkata pendekatan seumpama itu mampu menghindarkan golongan belia daripada sebarang gejala tidak sihat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov untuk undi awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.