
Abdul Hakim Gulam Hassan berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada manifesto beliau supaya Tungku, yang kini berstatus sebagai daerah kecil, dapat membangun seiring dengan daerah lain di Sabah.
“Pada masa sama, masih banyak keperluan dari segi infrastruktur termasuk capaian kemudahan Internet di beberapa kawasan di Tungku yang sukar diperoleh, akan diperbaiki,” katanya kepada Bernama, pada sesi ramah mesra bersama pengundi.
Beliau berkata Tungku juga memerlukan tambahan sekolah menengah bagi menampung keperluan masyarakat setempat, selain mewujudkan Sekolah Menengah Agama kerana majoriti penduduk beragama Islam.
Hakim merujuk kepada Tanjung Labian yang tidak mempunyai sekolah menengah sehingga menyebabkan ibu bapa terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM20 sehari untuk tambang ke SMK Tungku atau SMK Desa Kencana di Felda Sahabat, sekali gus membebankan mereka.
Beliau berkata keadaan itu mengakibatkan sebahagian daripada pelajar hanya mampu datang ke sekolah dua atau tiga hari seminggu disebabkan faktor kemampuan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Hakim, yang memilih slogan Sayangi Tungku dalam kempennya, menyifatkan rakyat di kawasan itu seperti sebuah keluarga besar dan berkata kasih sayang perlu terus disemai dalam kalangan penduduk Tungku.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.