Terpedaya untung 200%, pesara rugi hampir setengah juta

Terpedaya untung 200%, pesara rugi hampir setengah juta

Mangsa berusia 73 tahun kerugian besar selepas terjebak dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

scam
Menurut polis, mangsa melakukan 23 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke 10 akaun bank berbeza antara Januari hingga April lalu.
PETALING JAYA:
Seorang pesara mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud, sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata polis menerima laporan mangsa berusia 73 tahun itu mendakwa kerugian RM459,000 selepas menyertai satu pelaburan di WhatsApp.

“Mangsa yang menetap di Taman Suria di sini memaklumkan menerima tawaran pelaburan dan pembelian saham sebuah syarikat antarabangsa sekitar Disember 2024. Tawaran itu dihantar melalui nombor WhatsApp.

“Mangsa memaklumkan dia dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang didakwa mengajar cara urus niaga saham menggunakan aplikasi dalam talian.

“Suspek mendakwa pelaburan itu beroperasi di Malaysia dan China, serta menjanjikan pulangan keuntungan antara 10 hingga 200%,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau berkata mangsa yang tertarik kemudiannya melakukan 23 transaksi pindahan wang secara dalam talian dari akaun banknya ke 10 akaun bank berbeza antara 10 Januari hingga 17 April lalu.

“Pada awalnya dia menerima pulangan sebanyak RM18,360, menyebabkannya yakin dan terus membuat pelaburan tambahan.

“Bagaimanapun, selepas diminta membayar ‘wang proses’ untuk mengeluarkan keuntungan seterusnya, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila bayaran itu tidak menghasilkan sebarang pulangan.

“Siasatan awal mendapati akaun-akaun bank yang terbabit pernah digunakan dalam kes penipuan sebelum ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.