2 lagi buat laporan polis berkait audio didakwa mirip Rauf, kata peguam Ali

2 lagi buat laporan polis berkait audio didakwa mirip Rauf, kata peguam Ali

Sebelum ini, Ali Mohamad dakwa audio tersebut ada kaitan dengan penahanannya pada 2023, oleh polis.

Muhammad Rafique Rashid
Rafique Rashid Ali kata dua individu buat laporan polis berhubung audio didakwa mirip suara Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.
KUALA LUMPUR:
Peguam kepada timbalan ketua penerangan Bersatu, Ali Mohamad, mengesahkan dua individu membuat laporan polis berhubung audio didakwa mirip suara Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, yang tersebar di media sosial.

Sebelum ini, Ali mendakwa audio tersebut ada kaitan dengan penahanannya pada 2023, oleh polis.

Rafique Rashid Ali memaklumkan dua individu tersebut, yang disifatkan sebagai ‘saksi’, masing-masing buat laporan di Balai Polis Batang Tiga, Melaka pada 4 dan 5 Mei.

Pihaknya memohon polis memberi perlindungan ke atas dua individu tersebut di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

“Dalam kes ini polis mesti memberi perlindungan keselamatan,” katanya pada sidang media yang dihadiri Ali dan Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin.

Rafique berkata pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran saksi-saksi berkenaan kerana tertakluk di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Ali pernah menyebut tentang penahanan tersebut di Facebook, pada 15 April lalu tanpa huraian lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan, tular audio berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial, yang didakwa suara mirip Rauf, sehari selepas beliau nafi ada kaitan dalam penahanan Ali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 April lalu.

Pada 15 Apr lalu, Ali direman SPRM bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah, menurut Rafique.

Sebelum ini, Rauf menyifatkan penyebaran beberapa audio didakwa mirip suaranya sebagai ‘permainan politik’ untuk menjejaskan karakter beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.